Pedra Branca: Malaysia fail permohonan interpretasi penghakiman ICJ

Pedra Branca: Malaysia fail permohonan interpretasi penghakiman ICJ

Malaysia meminta ICJ memutus dan mengisytiharkan perairan di sekitar Pedra Branca dan Tubir Selatan terletak dalam perairan Malaysia, dan kedaulatan Tubir Selatan adalah milik Malaysia.

pedra-branca
KUALA LUMPUR: Malaysia memfailkan permohonan bagi memohon interpretasi penghakiman yang diputuskan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 23 Mei 2008 berhubung Pedra Branca (Pulau Batu Puteh) dan South Ledge (Tubir Selatan).

Perkara ini dinyatakan ICJ yang berpangkalan di The Hague dalam satu kenyataan media bertarikh 30 Jun 2017.

Ia menyatakan dalam penghakiman itu, mahkamah mendapati kedaulatan Pedra Branca adalah milik Singapura; kedaulatan Middle Rocks (Batuan Tengah) adalah milik Malaysia, sementara kedaulatan South Ledge milik negara di perairan wilayah itu terletak.

Kenyataan itu berkata, Malaysia meminta mahkamah memutuskan dan mengisytiharkan perairan di sekitar Pedra Branca dan Tubir Selatan terletak dalam perairan Malaysia, dan seterusnya kedaulatan ke atas Tubir Selatan adalah milik Malaysia.

“Malaysia menambah permohonan bagi interpretasi penghakiman 2008 masa kini yang difailkan berdasarkan Perkara 60 Statut Mahkamah ‘bersifat berasingan dan autonomi’ daripada permohonan semakan penghakiman sama yang difailkan pada 2 Februari 2017 berdasarkan Perkara 61 Statut Mahkamah, walaupun jika kedua-dua prosiding semestinya berkait rapat.

“Sebagai asas permintaan untuk interpretasi, Malaysia mengguna pakai Perkara 60 Statut Mahkamah, yang memperuntukkan ‘jika berlaku pertikaian mengenai maksud atau skop penghakiman, mahkamah hendaklah membuat interpretasi atas permintaan mana-mana pihak’. Ia juga mengguna pakai Perkara 98 Kaedah-kaedah Mahkamah,” kata kenyataan itu.

Kenyataan tersebut berkata, pemohon (Malaysia) menjelaskan “Malaysia dan Singapura cuba melaksanakan penghakiman 2008 melalui proses kerjasama”.

Untuk tujuan itu, kedua-dua pihak menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Bersama Malaysia-Singapura (MSJTC) mengenai pelaksanaan penghakiman ICJ 2008, yang antara lain ditugaskan untuk menangani “persempadanan batasan maritim antara perairan kedua-dua negara”.

“Menurut Malaysia, MSJTC menemui jalan buntu pada November 2013. Malaysia menegaskan satu sebab bagi kebuntuan ini ialah pihak terbabit tidak dapat mencapai persetujuan berhubung maksud penghakiman 2008 kerana ia melibatkan Tubir Selatan dan perairan sekitar Pedra Branca.”

Ia berkata, lebih khusus lagi, Malaysia menyatakan dalam permohonannya “pihak-pihak tidak dapat mencapai persetujuan mengenai maksud dan/atau skop 2 perkara berikut dalam penghakiman 2008 yang mahkamah memutuskan kedaulatan ke atas Pedra Branda adalah milik Singapura dan dapatan mahkamah kedaulatan ke atas Tubir Selatan adalah milik negara di perairan mana ia terletak”.

Kenyataan itu berkata, pemohon seterusnya berhujah “ketidakpastian berterusan” berhubung negara mempunyai kedaulatan ke atas wilayah dipertikaikan “terus merumitkan tugas bagi memastikan hubungan teratur dan aman”.

“Ia menegaskan keperluan untuk mencapai penyelesaian berdaya maju terhadap pertikaian ini adalah mendesak memandangkan jumlah trafik udara dan maritim yang tinggi di kawasan itu,” kata kenyataan itu.

Pada 2 Februari 2017, Malaysia memfailkan permohonan bagi semakan penghakiman ICJ mengenai Pedra Branca, Middle Rocks dan South Ledge selepas penemuan 3 dokumen oleh Malaysia di National Archives of the United Kingdom bagi menyokong tuntutannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.