
Sebaliknya, menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat Jabatan Pendidikan Politeknik, permohonan peniaga itu ditolak selepas ia didapati tidak memenuhi syarat dan kriteria yang termaktub dalam spesifikasi sebut harga iaitu tidak mempunyai Kod Bidang 040103 Makanan Bermasak Islam.
Menurut kenyataan itu, selain Gopi Krishnan, 2 pengusaha kantin Melayu yang beroperasi hampir 10 tahun di PSP turut ditamatkan kontrak kerana tidak memenuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan manakala seorang lagi pengusaha menarik diri kerana tidak berdaftar dengan Kementerian Kewangan.
“Secara jelasnya tiada unsur pilih kasih atau diskriminasi perkauman seperti yang didakwa. Pemilihan dilakukan secara telus dan bertanggungjawab oleh Jawatankuasa Penilaian Sebut Harga.
“Jawatankuasa tersebut tidak dimaklumkan nama syarikat dan siapa yang mengambil bahagian dan pemilihan adalah berdasarkan nombor kod penender sahaja,” demikian menurut kenyataan itu.
PSP juga terbuka untuk berbincang dengan pihak ke-3 yang mungkin tidak memahami atau mendapat maklumat sahih berhubung isu itu.
Semalam Gopi Krishnan, 45, mengadakan sidang media bersama Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy bagi meluahkan rasa tidak puas hatinya selepas kontrak beliau tidak diperbaharui oleh PSP.