
Pakar Psikologi Dr Adrian Lim berkata masalah kesihatan mental diibaratkan “pembunuh dalam diam” dan perlu diberi rawatan segera terutamanya dalam kalangan belia.
“Kekangan kewangan, berdepan masalah keluarga dan kerjaya antara faktor utama menyumbang kepada peningkatan masalah kesihatan mental… masalah ini tidak boleh dipandang remeh dan perlu ditangani segera, memandangkan belia adalah generasi pelapis negara.
“Rata-rata pesakit yang mendapatkan nasihat saya, mereka baru saja memulakan kerjaya tetapi apabila mereka gagal mencapai matlamat, persepsi keluarga dan masyarakat terhadap mereka mula berubah menyebabkan mereka rasa tertekan dan tidak berguna,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Tambahnya keadaan ini berbeza dengan apa yang berlaku lebih sedekad lalu di mana keluarga lebih memahami anak-anak dan mereka tidak terlalu memberi tekanan kepada belia meskipun gagal dalam kerjaya.
Dr Lim berkata belia kini bukan sahaja berdepan dengan tekanan keluarga tetapi faktor ekonomi juga menyumbang kepada peningkatan tahap keseriusan tekanan mental mereka.
“Ramai yang beranggapan belia yang baru melangkah ke alam pekerjaan tidak mempunyai kekangan kewangan tetapi secara tidak sedar mereka sebenarnya mempunyai bebanan kewangan sebaik sahaja tamat pengajian kerana perlu membiayai pinjaman pendidikan mereka.
“Apabila mereka mula melangkah ke alam pekerjaan, dengan gaji yang diterima, banyak yang perlu diambil kira termasuk kelangsungan hidup terutamanya di kawasan bandar di mana kos sara hidupnya tinggi,” katanya.
Beliau berkata masalah ini harus ditangani segera dan pelbagai pihak terutamanya ibu bapa dan rakan sebaya perlu memainkan peranan mewujudkan suasana persekitaran yang lebih positif dan memahami.
Individu yang berhadapan dengan tekanan boleh berjumpa dengan pakar psikologi atau psikiatri untuk mendapatkan khidmat nasihat, katanya.