
“Boleh jadi suara saya bergetar dan bunyi seperti ketakutan kerana pesawat itu sendiri sudah bergegar ketika itu menyebabkan suara saya kedengaran sedemikian.
“Kami tidak panik atau takut…tidak terlintas di fikiran saya (panik). Apa yang berlaku ialah pesawat bergegar, jadi saya nak pegang sistem audio pun bergegar. Itu jadi bunyi seperti menggeletar,” katanya kepada Berita Harian.
Menceritakan detik cemas dalam penerbangan dari Perth ke Kuala Lumpur itu yang terpaksa berpatah balik selepas mengalami masalah teknikal, Ibrahim berkata, pesawat sedang terbang di ketinggian 38,000 ke 40,000 kaki ketika kejadian berlaku.
“Tiba-tiba kami terdengar bunyi terlanggar benda seperti besi. Saya fikir ketika itu sudah terlanggar kapal terbang lain.
“Pesawat berpusing ke kiri dan ke kanan. Saya tahu ini berlaku kerana enjin di sebelah kiri gagal berfungsi menyebabkan ‘auto pilot’ (pengemudi automatik) yang sudah ditetapkan untuk terbang ke kiri berpusing kembali ke kanan.”
Selepas mendapati enjin kiri mengalami kerosakan, beliau segera berbincang dengan pembantunya, Vincent Low dan mereka memutuskan untuk berpatah balik ke Perth menggunakan sebuah enjin dan pesawat perlu turun ke paras 25,000 kaki seperti ditetapkan prosedur operasi standard.
“Bagaimanapun, ketika pesawat mula turun, tiba-tiba berlaku gegaran begitu teruk sekali. Saya dan pembantu bincang kemungkinan yang terjadi.”
Katanya, beliau dan Low berikhtiar pelbagai cara untuk mengurangkan kelajuan pada tahap paling minimum bagi mengurangkan gegaran, tetapi gagal.
“Saya tidak panik sepanjang mengendalikan situasi cemas selama 1 jam 40 minit itu, walaupun belum pernah mengalaminya sepanjang 25 tahun menjadi juruterbang, sebaliknya menginsafi diri.”
Ibrahim turut mempertahankan tindakannya meminta penumpang berdoa bersamanya supaya pesawat dapat mendarat dengan selamat.
“Saya pun berdoa dan sentiasa berdoa dan tidak salah rasanya meminta mereka (penumpang) bersama berdoa dengan saya. Saya bersyukur kerana dapat mendarat dengan selamat.”
Ahad lepas, pesawat AirAsia X penerbangan D7237 dari Perth ke Kuala Lumpur pada jam 6.50 pagi berpatah balik selepas satu letupan dikatakan berlaku di enjin kiri dengan sebilah kipas turbin patah dan seorang penumpang menyifatkan pesawat “bergegar seperti mesin basuh”.
Juruterbang AirAsia itu kemudiannya dikritik bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim kerana meminta penumpang berdoa supaya pesawat yang mengalami masalah enjin itu dapat mendarat dengan selamat.
Bos AirAsia pertahan juruterbang minta penumpang berdoa semasa kecemasan
Zaid: Kapten minta penumpang berdoa, baik AirAsia ambil imam