MIC usul asrama khas bendung gejala samseng belia India

MIC usul asrama khas bendung gejala samseng belia India

Ketua Pemuda C Sivarraajh berkata pelajar berisiko tinggi akan ditempatkan di sebuah asrama dan dibantu dari segi akademik, kemahiran hidup dan ajaran agama.

C-Sivarraajh-buli
KUALA LUMPUR: Program “Halfway Home” merupakan inisiatif utama dalam Pelan Tindakan Belia India Malaysia, kata Ketua Pemuda MIC Datuk C Sivarraajh.

Beliau berkata program tersebut menumpukan kepada pelajar India yang berisiko tinggi terjerumus dalam kancah gengsterime serta mengubah kehidupan belia tersebut agar menjadi insan berguna.

“Pelajar-pelajar ini akan dibawa dan ditempatkan di sebuah asrama dan diberi pendedahan sepenuhnya dari segi akademik, kemahiran dan ajaran agama bagi melengkapkan diri seadanya.

“Pada masa sama, kita harap inisiatif ini dapat membina insan yang mempunyai berperwatakan baik dan sopan serta keluar dari asrama dan sambung kehidupan seperti orang lain,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut berharap pelan tindakan yang dirangka sayap itu akan dijadikan antara pengisian dalam Pelan Tindakan Masyarakat India (MIB) yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 April lalu.

Sivarraajh berkata cadangan program “Halfway Home” itu diusulkan kepada Najib dan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Untuk itu, Pemuda MIC menjalankan pelbagai kempen serta program kesedaran untuk memastikan belia India tidak terlibat dalam masalah gengsterisme.

“Program intervensi telah diadakan bagi ibu bapa di kawasan yang berisiko tinggi (banyak masalah gengsterisme) supaya mereka dapat mendidik anak-anak mereka yang masih bersekolah.

“Masalah ini boleh dibendung melalui kerjasama holistik daripada semua pihak untuk memastikan ia tidak menular menjadi penyakit kanser yang akan seterusnya memudaratkan masyarakat India di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Sivarraajh turut menepis dakwaan sesetengah pihak skuad Pemuda MIC sarang “membela” golongan samseng.

Jelasnya, skuad itu memberi ruang kepada bekas banduan serta samseng untuk mengubah cara hidup mereka.

“Tanggungjawab kita untuk membantu semua golongan tak kira banduan, gangster atau pencuri, tanggungjawab kita membantu beliau ke jalan yang benar. Jadi sebagai ketua Pemuda saya tak boleh berat sebelah dengan mengasingkan golongan graduan dengan berkemahiran, kena bawa semua sekali,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.