
Organisasi Hak Asasi Manusia Malaysia Untuk Etnis Rohingya Myanmar (MERHROM) memohon kerajaan menyediakan dokumen undang-undang bagi pelariannya yang melarikan diri ke negara ini agar mereka mendapat pekerjaan, status dan pendidikan yang sepatutnya.
“Pelarian ini memerlukan dokumen yang betul supaya mereka boleh mendapat pekerjaan yang baik untuk menyara keluarga mereka ketika berada di sini,” kata Presiden MERHROM Zafar Abdul Ghani kepada FMT.
Menurut Zafar, pelarian Rohingya tidak boleh hanya bergantung kepada bantuan dan kerajaan harus memilih penyelesaian praktikal untuk jangka masa panjang.
Zafar mendakwa kebanyakan kebanyakan pelarian Muslim Rohingya Myanmar yang melarikan diri ke negara ini, menerima bantuan daripada pelbagai organisasi.
Bagaimanapun, penyelesaian itu hanya menangani krisis hidup sementara, yang dihadapi banyak keluarga Rohingya di negara asing, katanya.
“Berapa lama mereka boleh bertahan dengan simpati?” Kata Zafar.
“Penyelesaian tetap hanya boleh direalisasikan jika kerajaan sedia memberikan dokumen yang sesuai untuk pelarian.”
Zafar mendakwa beberapa pelarian Rohingya di negara ini terpaksa bekerja secara tidak sah untuk terus hidup dan menyara keluarga mereka di sini.
Beliau menambah jika kerajaan komited membantu pelarian Rohingya, mereka perlu menyediakan dokumen undang-undang yang betul supaya pelarian tidak perlu bekerja secara haram atau merompak.
Pada masa ini terdapat kira-kira 150,000 pemegang kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) daripada 62 negara di Malaysia.
Hampir 90% daripada mereka berasal dari Myanmar, dengan 56,000 adalah Rohingya.
Bercakap tentang projek perintis yang membolehkan pelarian Rohingya bekerja secara sah, Zafar mendakwa beliau tidak melihat sebarang hasil positif daripada inisiatif tersebut.
Inisiatif itu disuarakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi 2 Februari lalu untuk menangani isu pemerdagangan manusia dan mencegah eksploitasi Rohingya sebagai buruh paksa dan pekerja haram.
Pemohon yang berjaya akan ditempatkan di syarikat terpilih dalam industri perladangan dan pembuatan.
Sementara itu, mengulas isu keluarga Rohingya yang dituduh memanipulasi orang ramai untuk membiayai anak yang sakit, Zafar menuntut pihak berkuasa mengambil tindakan kerana ini menimbulkan implikasi negatif terhadap komuniti Rohingya.
“Banyak pelarian Rohingya yang melarikan diri ke negara ini dapat bekerja walaupun tidak memberikan dokumen yang tepat.”
“Kebaikan Malaysia tidak harus dieksploitasikan,” katanya sambil menambah terdapat kemungkinan pelanggaran identiti di mana warganegara bukan Rohingya menyamar sebagai Rohingya untuk mengeksploitasi sokongan yang disediakan kerajaan.
Pada 27 Jun, dilaporkan keluarga seorang anak lelaki Rohingya yang menghidapi penyakit hidrosefalus didapati mengemis kumpul dana untuk pembedahannya.
Namun ia didapati satu penipuan kerana wang untuk pembedahan sudah dibayar.
Menurut Hospital Kuala Lumpur, wang yang diperlukan untuk pembedahan budak itu, Mohamad Yasin Mohammed Rafique, sudah dibayar dan menyangkal sebarang dakwaan mengatakan mereka terpaksa mengemis di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) untuk membiayai kos pembedahan anak lelaki yang berusia 10 bulan.
Yasin menghidapi penyakit hidrosefalus, iaitu gangguan aliran cecair di luar otak atau akumulasi cecair serebrospinal (CSF) di dalam ventrikel serebral atau ruang subdural.
Pesakit itu diiktiraf UNHCR dan keluarga berhak mendapat diskaun 50% daripada jumlah kos pembedahan.
Anggaran kos pembedahan sebanyak RM 8,800.