
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata seramai 43 mangsa daripada 7 keluarga di Batu Pahat ditempatkan hanya 1 malam di pusat pemindahan sementara (PPS).
“Semua mangsa banjir yang ditempatkan di PPS dibenarkan pulang, mereka hanya berada di pusat pemindahan pada malam pertama banjir bermula. Ketika ini keadaan kembali pulih,” katanya ketika dihubungi FMT.
Mengulas lanjut, Ayub berkata pihak kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) supaya membaiki benteng penahan ombak yang pecah dengan nilai kos berjumlah RM7,000 dengan kadar segera.
“JPS akan segerakan baik pulih benteng yang pecah melibatkan 5 tempat yang rosak dengan kos perbelanjaan RM70,000,” katanya.
Sementara itu bomba Johor berkata pihaknya mempunyai kekuatan mencukupi untuk menangani situasi banjir di Johor ketika ini meskipun di musim perayaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Mohd Rizal Buang menambah perancangan dan persediaan awal memastikan bomba negeri turut bersedia menghadapi pelbagai bentuk bencana.
“Di Johor, hanya 20% anggota bercuti di musim perayaan manakala 80% lagi bekerja seperti biasa,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Menurut Rizal, situasi banjir di negeri itu dalam keadaan terkawal dan beransur pulih. Dalam keadaan semasa, jentera dengan 6 anggota disediakan di 2 kawasan terkesan iaitu Segamat dan Batu Pahat dan akan ditambah sekiranya perlu.
“Banjir yang berlaku ini hanya banjir kilat. Di Segamat, keadaan sudah mula surut, manakala di Batu Pahat, keadaan lambat surut ekoran benteng penahan ombak pecah disebabkan ombak besar,” katanya.
Semalam lebih 200 mangsa banjir di Melaka dan Johor dipindahkan susulan banjir kilat melanda negeri itu.
Berdasarkan perkembangan terbaharu hari ini jumlah mangsa banjir kilat di Melaka menurun kepada 149 orang setakat 10.30 pagi ini berbanding 200 orang malam tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata, mereka ditempatkan di 4 pusat pemindahan iaitu di Balai Raya Bukit Tambun, Balai Raya Bukit Balai dan Balai Raya Kampung Pulau di Alor Gajah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel di Jasin.