
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata, mereka ditempatkan di 4 pusat pemindahan, iaitu di Balai Raya Bukit Tambun, Balai Raya Bukit Balai dan Balai Raya Kampung Pulau di Alor Gajah serta Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel di Jasin.
“Di daerah Alor Gajah, Balai Bukit Tambun kekal dengan 87 mangsa merangkumi 8 keluarga, Balai Raya Bukit Balai juga kekal dengan 40 mangsa daripada 6 keluarga dan Balai Raya Kampung Pulau turut kekal dengan 15 mangsa merangkumi 5 keluarga.
“Di daerah Jasin, seramai 58 mangsa daripada 12 keluarga ditempatkan di SK Tehel,” katanya dalam satu kenyataan.
Effendy yang juga ketua sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka berkata, kejadian banjir itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat sejak tengah malam kelmarin sehingga menyebabkan air Sungai Durian Tunggal, Sungai Melaka dan Sungai Tehel melimpah dan membanjiri 5 kawasan dalam tempoh 5 hingga 7 jam kemudian.
“Lima kawasan yang dilanda bencana itu ialah Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai, Kampung Pulau di Alor Gajah serta Kampung Tanjung Laboh dan Kampung Parit Lampong di Jasin.”
Di Johor pula, seramai 43 mangsa daripada 7 keluarga di Batu Pahat dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat setinggi 0.6m.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, kejadian lewat tengah hari semalam itu melibatkan penduduk Kampung Sungai Kluang, Rengit yang ditempatkan di PPS Kampung Parit Jalai.
Usaha memindahkan mereka dilakukan bersama Angkatan Pertahanan Awam, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
“Banjir berpunca daripada limpahan air pasang akibat benteng empangan atau pemecah ombak pecah. Kerja-kerja pembaikan sedang diuruskan JPS Batu Pahat, manakala bantuan disampaikan JKM,” katanya dalam kenyataan malam tadi.