

Aziah Abdullah, 36, yang sudah bekerja selama 17 tahun di stesen minyak Caltex Jalan Subang, Shah Alam terpaksa menggunakan wang simpanannya untuk menyambut Aidilfitri yang jatuh esok.
“Rasa terkilan sebab tiba-tiba jadi. Hati sedih sebab terpaksa tinggalkan stesen ini. Saya sudah lama bekerja di sini dan sudah biasa dengan suasana kerja dari segi penjagaan barang dan pekerja lain di sini,” katanya kepada FMT.
Aziah berkata sambutan kali ini “lebih berjimat” disebabkan tidak ada pampasan diberikan Chevron Malaysia, syarikat yang memiliki stesen Caltex di seluruh negara.
Rabu lalu, FMT mengetengahkan aduan 15 pengusaha stesen minyak Caltex, yang mendakwa menerima notis 30 hari untuk menutup perniagaan masing-masing paling lambat 6 hari selepas sambutan Aidilfitri.
Dalam sidang media dianjurkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), mereka mahu mengambil tindakan mahkamah terhadap Caltex, atas dakwaan ia melanggar arahan kerajaan berkaitan pelaksanaan perkhidmatan layan diri di stesen minyak Caltex.
Semalam, Chevron Malaysia mempertahankan tindakannya dan berkata menjadi haknya untuk membuat keputusan demikian berdasarkan syarat kontrak.
“Isu penamatan adalah keputusan syarikat yang mempunyai hak untuk melanjutkan atau menamatkan kontrak runcit pada bila-bila masa,” kata Chevron dalam kenyataan kepada FMT.

Sementara itu, Wardatuttoyibah Asnan yang sudah 3 tahun bekerja di stesen minyak Caltex menyifatkan pemberhentian itu tidak berperikemanusiaan.
Wanita berusia 24 tahun yang juga dikenali dengan panggilan Wawa itu berkata golongan sepertinya baru menamatkan pelajaran di sebuah kolej swasta dan memerlukan pekerjaan membayar hutang pembiayaan pendidikan.
“Saya rasa sedih tiba-tiba jadi macam ini sebab apabila saya bekerja di sini saya dapat tampung keluarga saya dan lepas habis belajar, banyak nak kena bayar (hutang pinjaman pelajaran).”

Seorang lagi pekerja yang terkesan, Krishnan Muriandy, 63, berkata usianya menjadikan peluang mendapatkan kerja lain sesuatu yang sukar.
“Anak juga ada yang masih bersekolah.
“Buat masa ini saya tiada perancangan lagi nak cari kerja lain. Akan tunggu stesen ini tutup baru akan fikir cari kerja lain,” kata bapa kepada 4 orang anak itu.
Pengusaha mahu saman Caltex arah tutup stesen minyak tanpa sebab