Dadah: 24 orang P Pinang, nenek antara 161 dikehendaki polis

Dadah: 24 orang P Pinang, nenek antara 161 dikehendaki polis

Polis mengeluarkan senarai 161 orang yang dikehendaki untuk membantu siasatan kes sindiket pengedaran dan salah guna dadah.

Datuk-Kang-Chez-Chiang
PETALING JAYA:
24 orang Pulau Pinang dan seorang nenek 64 tahun antara 161 individu yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes sindiket pengedaran dan salah guna dadah.

Senarai mereka dikehendaki boleh dilihat di Facebook rasmi polis. Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Kang Chez Chiang berkata maklumat mengenai 161 orang itu boleh disalurkan ke JSJN negeri atau balai polis berhampiran.

“JSJN sedang berusaha mengesan beberapa sabjek bagi membantu menyelesaikan siasatan kes pengedaran dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“JSJN secara holistik memerlukan kolaborasi bersama media, badan bukan kerajaan, dan pemimpin komuniti dalam menyedarkan masyarakat untuk membanterasnya hingga ke akar umbi.”

Dalam senarai tersebut, 8 daripada 161 orang berkenaan adalah wanita. Mereka yang dikehendaki polis berusia semuda 19 tahun hingga 64 tahun.

Individu berasal dari Pulau Pinang merupakan teramai dalam senarai itu, diikuti Selangor dan Perak (21) dan Kelantan (19).

JSJN berkata pembanterasan sindiket pengedaran dan salah guna dadah harus menjadi agenda utama negara dan terus dilipat gandakan dari semasa ke semasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.