Alasan Caltex tidak munasabah, kata persatuan stesen minyak

Alasan Caltex tidak munasabah, kata persatuan stesen minyak

Presiden PDAM berkata syarikat itu tidak berhak menamatkan kontrak 15 pengusaha stesen minyak tanpa alasan kukuh.

caltex-pdam
PETALING JAYA: Persatuan Peniaga Petroleum Malaysia (PDAM) menolak penjelasan Chevron Malaysia Limited, atau lebih dikenali di sini sebagai Caltex, mengenai penamatan kontrak 15 pengusaha stesen minyak, menyifatkan ia “tidak boleh diterima”.

Ini kerana alasan penamatan kontrak itu masih samar, kata presiden persatuan Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz.

Khairul bagaimanapun berkata Caltex mempunyai hak untuk melanjutkan atau menamatkan kontrak peruncitannya.

“Tetapi mereka pastinya tidak berhak untuk menamatkan kontrak tanpa alasan kukuh. Itu tidak boleh diterima,” katanya kepada FMT.

Semalam, Chevron mengesahkan mereka menamatkan kontrak “peruncit tertentu” dan menjelaskan ia adalah “keputusan perniagaan” yang dibuat berdasarkan kontrak perjanjian dengan pihak terbabit.

Chevron mengeluarkan kenyataan itu selepas 15 pengusaha stesen Caltex mendakwa menerima notis untuk menutup operasi masing-masing pada 30 Jun.

Pengusaha terbabit tidak faham mengapa stesen mereka terpaksa ditutup. Mereka berkata kira-kira 200 orang akan hilang pekerjaan.

Seorang pengusaha stesen, Fauziah Ahmad Fadzil juga tidak berpuas hati dengan penjelasan Chevron yang disifatkan samar.

Beliau berkata penjelasan itu membayangkan pengusaha tiada suara dalam keputusan perniagaan syarikat itu, terutamanya yang memberi impak langsung kepada mereka.

“Caltex mengecewakan kita semua,” katanya.

Fauziah juga menafikan dakwaan Chevron berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah ini dengan baik dan dengan niat baik. Beliau mendakwa syarikat itu enggan melayan pertanyaan atau permintaan mereka untuk bertemu.

FMT cuba menghubungi Chevron untuk maklum balas.

Nurul Azwa menyumbang kepada artikel ini.

Caltex pertahan keputusan tamatkan kontrak pengusaha stesen minyak

Pengusaha mahu saman Caltex arah tutup stesen minyak tanpa sebab

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.