‘Rakyat mungkin dikecualikan cukai untuk hotel 3 bintang ke bawah’

‘Rakyat mungkin dikecualikan cukai untuk hotel 3 bintang ke bawah’

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, kerajaan masih mengkaji butiran berhubung cukai baru yang akan mula dilaksanakan bulan depan.

Mohd-Irwan-Serigar-Abdullah_hotel_600
SUBANG JAYA:
Rakyat Malaysia yang tinggal di hotel 3 bintang dan ke bawah mungkin dikecualikan membayar cukai pelancongan, kata ketua setiausaha perbendaharaan.

Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, kerajaan masih mengkaji butirannya dan akan membuat pengumuman tidak lama lagi.

“Sesetengah kriteria seperti rakyat tinggal di hotel 3 bintang dan ke bawah mungkin dikecualikan (cukai pelancongan).

“Ini yang kami sedang kaji dan akan umumkan kelak,” katanya selepas merasmikan sebuah pertandingan keusahawanan anjuran Pergerakan Keusahawanan Global, hari ini.

Mengenai cara kutipan cukai itu, katanya, ia akan dikendalikan Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang sudah mempunyai 1 sistem.

Katanya, pewartaan cukai itu dilakukan secara automatik selepas ia diluluskan Parlimen April lalu.

Pada 8 Jun lalu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz mengumumkan cukai pelancongan yang dikenakan pada kadar RM2.50 hingga RM20 untuk penginapan semalaman akan mula dikuatkuasakan 1 Julai ini.

Pada sidang Parlimen lepas pada April, Rang Undang-undang Cukai Pelancongan 2017 yang dibentangkan Nazri diluluskan dengan undian majoriti.

Ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu, Nazri dilaporkan berkata, cukai pelancongan itu dianggarkan mampu memberi kutipan RM654.62 juta, sekiranya kadar penginapan semalaman bagi keseluruhan 11 juta bilik di negara ini mencapai 60%.

Cukai pelancongan mulai 1 Julai

Pengusaha hotel masih kabur mengenai cukai baharu ke atas pengunjung

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.