Caltex pertahan keputusan tamatkan kontrak pengusaha stesen minyak

Caltex pertahan keputusan tamatkan kontrak pengusaha stesen minyak

Chevron berkata syarikat itu mempunyai hak untuk melanjutkan atau menamatkan kontrak runcit pada bila-bila masa.

Fauziah-Ahmad-Fadzil_caltex_600
PETALING JAYA: Chevron Malaysia yang memiliki stesen minyak Caltex seluruh negara hari ini mengesahkan ia menamatkan kontrak beberapa pengusaha stesen minyak, tetapi menjelaskan ia adalah hak syarikat itu.

“Isu penamatan adalah keputusan syarikat yang mempunyai hak untuk melanjutkan atau menamatkan kontrak runcit pada bila-bila masa,” kata Chevron dalam kenyataan kepada FMT.

Syarikat itu mengakui langkah berkenaan tidak disenangi beberapa pihak, tetapi berkata banyak komen mengenainya “mengelirukan dan mengandungi salah maklumat”.

Semalam, FMT melaporkan 15 pengusaha stesen minyak Caltex menerima notis 30 hari untuk menutup stesen minyak masing-masing, iaitu 6 hari selepas sambutan Aidilfitri.

Dalam sidang media dianjurkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), mereka mendakwa tindakan itu bakal menyebabkan 200 pekerja hilang pekerjaan.

Pengusaha terbabit mahu mengambil tindakan mahkamah terhadap Caltex, atas dakwaan ia melanggar arahan kerajaan berkaitan pelaksanaan perkhidmatan layan diri di stesen minyak Caltex.

Chevron berkata pihaknya akan mematuhi syarat kontrak dalam proses penamatan.

Menurutnya, keputusan itu diambil selepas mereka berusaha menyelesaikan masalah yang timbul dengan peruncit dengan cara baik.

“Namun kami ingin memberitahu orang ramai yang perniagaan seperti biasa akan diteruskan di semua stesen Caltex,” katanya.

Caltex mempunyai sebanyak 420 stesen minyak di seluruh negara, 90% daripadanya milik peruncit persendirian.

Pengusaha mahu saman Caltex arah tutup stesen minyak tanpa sebab

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.