
GEORGE TOWN: Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan merampas wang tunai RM688,000 dan simpanan RM27 juta dalam akaun bank dalam operasi besar-besaran terhadap syarikat permainan wang di Kedah dan Pulau Pinang.
Turut dirampas ialah kenderaan mewah iaitu sebuah Range Rover, Jaguar dan Toyota Vellfire. Bagaimanapun, tidak dapat disahkan sama ada tangkapan dibuat.
Kenyataan oleh cawangan Pulau Pinang kementerian itu berkata RM27 juta dibongkar dalam sebuah akaun “baharu”.
Menurutnya, operasi dilakukan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia dan Pejabat Peguam Negara, sebagai susulan terhadap kes membabitkan syarikat skim cepat kaya MBI International.
Cawangan BNM Pulau Pinang akan memberikan butiran lanjut mengenai rampasan itu hari ini.