Sulaiman Mahbob bersedia baiki FGV, hargai keyakinan Najib

Sulaiman Mahbob bersedia baiki FGV, hargai keyakinan Najib

Pegawai kanan veteran itu berjanji melihat cara penambahbaikan sektor kewangan dalam syarikat itu.

Sulaiman-Mahboob
PETALING JAYA: Pengganti Tan Sri Isa Abdul Samad berjanji akan meningkatkan pentadbiran Felda Global Ventures Holdings (FGV), dan antaranya ialah menambah baik sektor kewangan syarikat itu yang kini berdepan siasatan salah laku.

“Saya akan bekerjasama dengan lembaga untuk memperbaiki dan meningkatkan tadbir urus lembaga korporat dan syarikat,” kata Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob kepada FMT, sejurus selepas perdana menteri mengumumkan pelantikannya sebagai pemangku pengerusi FGV menggantikan Isa.

“Saya juga akan melihat cara penambahbaikan sektor kewangan,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Najib Razak atas kepercayaan dan keyakinan yang diberikan kepadanya untuk mengurus FGV.

Ditanya berkenaan pelantikan pengarah baharu bagi menggantikan mereka yang diminta bercuti sementara siasatan dijalankan, beliau menjawab: “Harus membincangkan perkara itu secara dalaman terlebih dahulu.”

Sulaiman menggantikan Isa yang sudah menjadi pengerusi FGV sejak 1 Januari 2011.

Kedudukan Isa dalam syarikat itu baru-baru ini menjadi fokus susulan pertelagahan terbuka yang menyebabkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Zakaria Arshad diarah bercuti.

Pada 7 Jun, bekas menteri Datuk Seri Idris Jala dilantik untuk mengetuai siasatan dalaman FGV.

Pada keesokan harinya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil dokumen di ibu pejabat FGV.

Sulaiman merupakan pengerusi bukan eksekutif dalam lembaga Telekom Malaysia Bhd.

Beliau merupakan lulusan ekonomi dari Universiti Malaya dan menerima sarjana dari University of London sebelum dianugerahkan Ph.D di Syracuse University, New York pada 1986.

Beliau berkhidmat di kerajaan selama lebih daripada 38 tahun dalam pelbagai bidang termasuk sebagai ketua pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri, setiausaha agung Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan setiausaha Kementerian Kewangan.

Beliau juga pernah mempengerusikan Lembaga Pembangunan Pelaburan (Mida) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, di samping menganggotai lembaga Petronas, Felda, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

 

Isa Samad letak jawatan pengerusi FGV, kini ke SPAD

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.