
Ini kerana, kata perdana menteri, terlalu banyak kenyataan dikeluarkan pelbagai pihak mengenai isu itu.
“Sudah (ada) banyak kenyataan, tak payah. Saya sudah keluarkan kenyataan,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan kunci Pembangunan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) hari ini.
Beberapa jam selepas dokumen itu dikeluarkan, setiausaha akhbar Najib, Datuk Seri Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad menyelar tuntutan terbaru itu yang menamakan “beberapa perkara dan individu” adalah “tidak perlu”.
“Ia menunjukkan wujud motivasi melangkaui matlamat merampas aset,” katanya sambil berkata siasatan pihak berkuasa Malaysia sebelum ini menunjukkan tiada jenayah dalam 1MDB.
Namun, Najib sendiri belum memberikan sebarang komen tentang perkara itu secara peribadi.
Ditanya adakah beliau akan mengambil tindakan memfailkan saman terhadap DoJ, Najib segera mencelah soalan dikemukakan wartawan.
“Siapa yang nak saman? Tiada lagi kenyataan (tentang DoJ),” katanya.
Dalam tindakan menyita lebih banyak aset dikaitkan dengan wang diseleweng daripada 1MDB, DoJ dalam tuntutan lebih 200 muka surat itu turut menyenaraikan 27 barang kemas yang dihadiahkan kepada isteri “Malaysian Official 1” (MO1) berjumlah AS$1.3 juta (RM5.5 juta) daripada taikun kelahiran Pulau Pinang, Low Taek Jho atau Jho Low, yang kini dipercayai berada di China.