
“Jika kecederaan adalah konsisten dengan sejarah diberikan mangsa, doktor itu mungkin tidak mengesyaki wujud tindakan menyalahi undang-undang,” kata Presiden MMA, Dr Ravindran Naidu dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas laporan Kementerian Kesihatan akan memanggil doktor yang merawat Zulfarhan kerana tidak melaporkan kes itu kepada polis, sebelum pegawai kadet laut UPNM itu meninggal dunia akibat didera pada 1 Jun lalu.
Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam dipetik BH Online sebagai berkata, doktor terbabit sepatutnya tahu membezakan kesan kecederaan akibat didera atau sebaliknya, termasuk segera melaporkan kepada polis jika kecederaan pesakit mencurigakan.
Mengulas lanjut, Dr Ravindran berharap Kementerian Kesihatan akan mendengar penjelasan doktor yang merawat Zulfarhan dengan adil, sebelum mengeluarkan garis panduan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.
“Kami juga berharap Kementerian Pendidikan Tinggi proaktif dalam menyiasat bagaimana tindakan kejam itu berlaku tanpa dikesan mereka yang berkuasa di universiti itu.
Beliau turut menyuarakan rasa simpati terhadap mangsa dan mengucapkan takziah kepada keluarganya.
Pada 14 Jun lalu, 5 pelajar UPNM dituduh membunuh Zulfarhan, manakala seorang lagi dituduh bersubahat.
Siasatan awal polis mendapati individu terbabit memaklumkan doktor kecederaan dialami Zulfarhan disebabkan latihan ketenteraan dijalani mereka di UPNM.
Doktor terbabit juga didakwa mengeluarkan surat rujukan untuk mangsa mendapatkan rawatan di hospital kerajaan, tetapi mangsa dan rakannya menolak dengan alasan timbul masalah dengan pihak universiti.
Mangsa kemudiannya dibawa ke sebuah klinik swasta di Bangi, pada 27 Mei lalu dan sekali lagi pada 31 Mei untuk rawatan susulan, sebelum dikejarkan ke Hospital Serdang sekitar 8 malam pada 1 Jun lalu dengan kesan lebam dan lecur hampir 80% di badannya dan meninggal dunia kira-kira 2 jam kemudian.
Pada 3 Jun lalu, The Star memetik sumber sebagai mendakwa penuntut tahun ke-3 jurusan kejuruteraan elektrik itu diseksa selama 2 hari dengan seutas tali pinggang, paip getah, batang besi dan penyangkut baju oleh rakan universitinya pada 20 dan 21 Mei lalu kerana dituduh mencuri sebuah komputer riba.
Tidak maklum polis, kementerian panggil doktor rawat Zulfarhan