Polis Pulau Pinang lipat ganda usaha basmi judi

Polis Pulau Pinang lipat ganda usaha basmi judi

Chuah Ghee Lye mengalu-alukan gesaan timbalan perdana menteri untuk menjadikan usaha membanteras kegiatan jenayah, khasnya perjudian sebagai KPI bagi polis Pulau Pinang.

Chuah-Ghee-Lye-2
GEORGE TOWN:
Polis Pulau Pinang akan melipat gandakan usaha membasmi kegiatan perjudian di negeri itu, sejajar gesaan timbalan perdana menteri.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Chuah Ghee Lye mengalu-alukan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang diumumkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, polis negeri itu memulakan usaha membasmi aktiviti perjudian sejak Mac lalu.

“Kami sudah memperhebatkan usaha kami. Sebenarnya, kami gembira TPM memberi kami KPI ini kerana kami sudah berada di landasan betul selama ini,” katanya pada Program Penerapan Nilai Murni Ramadan Kementerian Dalam Negeri di Masjid Daerah Barat Daya, pada Selasa.

Chuah berkata, sepanjang tahun ini, 211 serbuan dijalankan di pusat permainan dalam talian dan premis hiburan keluarga dengan 1,234 simulator, mesin slot dan komputer riba menawarkan permainan dalam talian dirampas.

Katanya, seramai 315 suspek terlibat dalam kegiatan perjudian ditahan sehingga 5 Jun lalu.

Terdahulu, Zahid dilaporkan berkata, Pulau Pinang mencatatkan kadar jenayah berkaitan perjudian tertinggi dan meminta Chuah meningkatkan usaha membasmi aktiviti secepat mungkin.

Zahid turut menyuarakan kebimbangan berhubung sindiket perjudian menggunakan hasil kegiatan mereka untuk membiayai parti politik, khasnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.

“Ini bukan tuduhan, cuma dikhuatiri (berlaku pembiayaan parti politik).

“Mulai hari ini, saya arahkan ketua polis negeri (banteras judi). Saya tidak mahu lagi ada laporan ‘kingpin’ terdiri daripada tauke besar di Pulau Pinang,” kata menteri dalam negeri itu.

Chuah berkata, beliau tidak boleh mengulas perkara itu kerana isu berkaitan pembiayaan dana politik di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bukannya polis.

Zahid bimbang tauke judi biaya parti politik

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.