Perlu mekanisme agih cukai pelancongan

Perlu mekanisme agih cukai pelancongan

Pengagihan hasil kutipan cukai ini perlu adil mengikut bilangan hotel atau premis penginapan yang terdapat di negeri masing-masing.

Tee-Siew-Kiong_pelancong_600
JOHOR BAHRU:
Kerajaan persekutuan perlu mencari 1 mekanisme bagi pengagihan hasil cukai pelancongan kepada semua negeri agar kutipan itu boleh digunakan bagi merancakkan lagi usaha promosi dan pemasaran industri pelancongan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri Johor, Datuk Tee Siew Kiong berkata pelaksanaan kutipan cukai itu dilihat sebagai 1 inisiatif yang mampu melonjakkan lagi industri pelancongan.

“Saya berpandangan kutipan ini bukan 1 beban kepada mana-mana pihak kerana sebelum ini, Melaka, Pulau Pinang dan Langkawi turut melaksanakan cukai sebegini.

Bagaimanapun, pengagihan hasil kutipan cukai ini perlu adil mengikut bilangan hotel atau premis penginapan yang terdapat di negeri masing-masing, katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa bersama media semalam.

Setakat Februari lepas, Johor mempunyai 102 hotel bertaraf bintang yang mempunyai 10,971 bilik dengan 11 lagi hotel bertaraf antarabangsa sedang dalam pembinaan dan dijangka siap menjelang 2019.

Pada sidang Dewan Rakyat lepas, Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan 2017 diluluskan yang melihat antara lain membenarkan pelaksanaan kadar cukai antara RM2.50 hingga RM20 bagi penginapan semalaman di hotel dan rumah penginapan berdaftar.

Pelaksanaan cukai berkenaan akan dilaksanakan pada 1 Julai ini.

Sementara itu, Tee yakin penerbangan terus ke Johor akan meningkat ekoran beberapa destinasi baharu yang kini dalam perbincangan.

“Antara negara yang dalam perbincangan termasuk Korea Selatan, India dan Jepun. Kita jangka perbincangan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat ini,” kata Tee.

Buat masa ini, terdapat 15 penerbangan terus ke Johor, yang mana 7 dari luar negara manakala 8 lagi dalam negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.