
Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dengan keahlian lebih 900 pengusaha hotel di seluruh Malaysia berkata sehingga hari ini pihaknya masih lagi tidak jelas bagaimana mahu melaksanakan cukai itu, yang dijangka pada kadar antara RM2.50 dan RM20 dikenakan bagi penginapan semalaman.
Presiden MAH Cheah Swee Hee memberitahu FMT, pihaknya masih tidak tahu mekanisme untuk mengutip cukai pelancongan, dan jumlah caj bil cukai dikenakan kepada pelancong untuk menginap.
“Saya rasa 1 Julai itu tak ada siapa boleh buat,” kata Cheah.
Cukai pelancongan dikenakan ke atas mereka yang menginap di mana-mana premis pelancongan di Malaysia.
Ketika berbahas di Dewan Rakyat pada April lalu untuk meluluskan rang undang-undang Cukai Pelancongan 2017, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz berkata cukai boleh memberikan kerajaan sebanyak RM654.62 juta, berdasarkan kadar penginapan melibatkan 11 juta bilik di negara ini mencapai 60%.
Semalam, Nazri berkata cukai itu akan dikuat kuasakan pada 1 Julai di semua hotel dan rumah penginapan yang berdaftar.
Cheah berkata tempoh masa itu tidak memadai bagi pengusaha hotel membuat persiapan.
Pihaknya bercadang bertemu Nazri bagi menyelasaikan perkara berkenaan tetapi sehingga sehingga kini tidak diberi peluang.
“Kita dah minta banyak kali tapi tak ada siapa nak jumpa,” katanya.