Menteri: Hasil makmal kebajikan veteran tentera akan diumum Julai

Menteri: Hasil makmal kebajikan veteran tentera akan diumum Julai

Makmal membincangkan kaedah meningkatkan kebajikan veteran tentera tidak berpencen secara holistik.

Hishamudin
JITRA: Kementerian pertahanan mewujudkan makmal perbincangan khas untuk mengenal pasti kaedah terbaik secara holistik untuk meningkatkan kebajikan veteran tentera yang tidak berpencen.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata makmal perbincangan itu melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk kementeriannya dan persatuan veteran

“Kos sara hidup dimasukkan dalam hala tuju kementerian Pertahanan yang mana kita akan sama-sama tampil membantu veteran tentera. Kita akan memikirkan kaedah terbaik supaya masalah dihadapi mereka dapat ditangani,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ihya Ramadan bersama tentera dan veteran tentera.

Hishammuddin berkata hasil dapatan daripada makmal perbincangan yang berakhir semalam sejak 6 minggu lepas itu akan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Julai nanti.

Beliau berkata setakat ini terdapat lebih 100,000 veteran tentera tidak berpencen di negara ini.

Sementara itu, beliau berkata kementeriannya juga kini melaksanakan satu lagi makmal perbincangan khas yang sedang berlangsung untuk menyelesaikan isu perumahan dalam kalangan anggota tentera.

Katanya perbincangan memberikan penekanan kepada usaha menyediakan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) yang mencukupi serta rumah mampu milik untuk anggota tentera.

“Rumah mampu milik ini konsep seumpama macam rumah PR1MA juga. Kini kita sedang berbincang dengan pihak kerajaan negeri dan pihak industri. Bagi membina rumah keluarga tentera kita sudah ada pilihan kem tertentu,” katanya.

Beliau berkata jumlah RKAT dijangka meningkat daripada 4,000 unit yang diumumkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11, dan akan diumumkan Najib pada September nanti hasil dapatan makmal perbincangan itu.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.