PKR keluar kerajaan Kelantan akhir Julai

PKR keluar kerajaan Kelantan akhir Julai

Ada beberapa urusan pentadbiran kerajaan negeri yang perlu diselesaikan dulu, kata presiden PKR.

azizah-pkr
PETALING JAYA: Semua ahli PKR yang memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan Kelantan pimpinan PAS akan meletak jawatan akhir Julai nanti, kata Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini.

Wan Azizah berkata mereka belum melepaskan jawatan disebabkan beberapa isu teknikal termasuk menyelesaikan urusan pentadbiran kerajaan negeri.

“Masalah ini akan diselesaikan,” katanya yang menambah PKR pusat sudah berjumpa dengan PKR Kelantan.

“Memandangkan sekarang suku tahun, pentadbiran Kelantan perlu melakukan kerja mereka mengikut SOP yang ditetapkan, jadi mereka perlu menunggu sehingga suku pertengan tahun (untuk melepaskan jawatan),” katanya selepas menghadiri mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di ibu pejabat PPBM hari ini.

Beliau menjangkakan kerja yang belum siap dapat diselesaikan akhir bulan Julai.

PKR pada 17 Mei lalu memutuskan supaya semua ahli lantikan politik dalam kerajaan Kelantan meletak jawatan, selepas PAS membatalkan kerjasama dengan PKR.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, sehingga kini lantikan politik yang diberikan kepada PKR berjalan seperti biasa.

Isu itu timbul susulan keputusan PAS menamatkan kerjasama dengan PKR, walaupun parti Islam itu bertegas kekal dalam kerajaan Selangor yang turut disertai PKR dan DAP.

PKR berunding lagi selepas ahli enggan keluar pentadbiran Kelantan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.