Nasib Dr Ting Tiong Choon sebagai adun Pujut ditentukan 19 Jun

Nasib Dr Ting Tiong Choon sebagai adun Pujut ditentukan 19 Jun

Peguam Chong Siew Chiang berkata, pihaknya akan berhujah DUN tidak mempunyai bidang kuasa melucutkan kelayakan adun dan Dr Ting tidak diberi masa secukupnya untuk mempertahankan dirinya.

Dr-Ting-Tiong-Choon-pujut
KUCHING: Keputusan berhubung saman difailkan Dr Ting Tiong Choon daripada DAP terhadap pelucutan kelayakannya sebagai adun Pujut akan diketahui pada 19 Jun ini, sehari sebelum hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pujut.

Peguam Chong Siew Chiang yang mengetuai barisan peguam mewakili Dr Ting memberitahu pemberita, Hakim Mahkamah Tinggi, Douglas Cristo Primus Sikayun menetapkan tarikh itu di dalam kamar.

Beliau berkata, hakim menetapkan Selasa ini untuk semua pihak menyerahkan fakta kes dan Khamis serta Jumaat (15 dan 16 Jun) bagi hujahan kedua-dua pihak.

“Masa amat penting, semuanya perlu diputuskan membabitkan kes ini sebelum hari penamaan calon (PRK DUN Pujut),” kata Chong.

Dr Ting memfailkan saman pemula di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini 2 hari lepas bagi memohon pengisytiharan usul Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 12 Mei lalu untuk melucutkan kelayakannya sebagai adun tidak sah dan batal.

Beliau menamakan Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar sebagai defendan pertama, Menteri Kewangan Kedua Sarawak, Datuk Seri Dr Wong Soon Koh sebagai defendan ke-2, DUN Sarawak, kerajaan Sarawak dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masing-masing sebagai defendan ke-3, ke-4 dan ke-5.

Dr Ting memohon diisytiharkan pelucutan kelayakannya sebagai adun Pujut oleh speaker DUN, susulan usul dikemukakan defendan ke-2 pada 12 Mei dan diterima sidang DUN dan speaker adalah tidak sah dan tidak memberi kesan kerana bersifat ultra vires.

Chong berkata, pihaknya akan berhujah DUN tidak mempunyai bidang kuasa untuk melucutkan kelayakan adun yang dipilih dan Dr Ting tidak diberikan masa secukupnya untuk mempertahankan dirinya.

SPR menetapkan PRK Pujut diadakan pada 4 Julai dan penamaan calon pada 20 Jun.

Adun DAP lucut kelayakan akibat miliki kerakyatan Australia

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.