
Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo menambah: “Sudah tentu polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pernah, selama ini, melihat semua transaksi dalam akaun SRC dan perdana menteri.”
Gobind dalam kenyataan berkata: “Tidak masuk akal kalau mereka tidak memiliki dokumen dan fakta asas itu, kerana ia menunjukkan tahap kewibawaan mereka. Ia juga akan menimbulkan persoalan apa gunanya pasukan petugas khas itu selama ini.”
Semalam dilaporkan KPN meminta editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown datang ke Malaysia dengan dokumen sokongan untuk membantu siasatan ke atas RM9.5 juta yang didakwa dibayar kepada peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pendakwaan dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mahkamah menjatuhkan hukuman 5 tahun penjara ke atas Anwar pada 2014.
Sarawak Report mendakwa wang yang dibayar kepada Shafee itu daripada akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Sebelum ini ada dakwaan mengatakan wang itu daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB, ke akaun Najib.
Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali bulan lepas berkata SPRM dijangka menyelesaikan siasatan ke atas aliran wang dari SRC ke akaun perdana menteri dalam masa sebulan.
Clare berkata Khalid sepatutnya memiliki dokumen yang dipetik Sarawak Report kerana beliau menganggotai pasukan petugas yang menyiasat kes 1MDB. Clare dilaporkan berkata tiada dokumen yang tidak diketahui KPN yang boleh beliau bekalkan.
Gobind berkata: “Kita jangkakan siasatan berkualiti tinggi dari pasukan petugas itu kerana ia ditubuhkan untuk menyiasat perkara sebesar 1MDB dan SRC, dan dianggotai ketua dari institusi besar seperti polis, SPRM, Bank Negara dan peguam negara.
“Mereka perlu jawab jika ada keraguan. Dalam kes ini jelas ada keraguan. Maka KPN atau anggota lain dalam pasukan itu perlu bersuara untuk membetulkan perkara ini.”
Gobind berkata jika mereka ada dokumen tersebut mereka perlu nyatakan adakah dakwaan itu benar atau tidak.
“Jika tidak, mereka mesti jelaskan mengapa sehingga sekarang, mengapa dokuman dan fakta asas seperti itu belum diperoleh untuk membantu siasatan.”