Sabah terima kapal peronda baru dari Jepun

Sabah terima kapal peronda baru dari Jepun

Kapal KM Arau akan memainkan peranan dalam meningkatkan keupayaan operasi APMM di perairan Sabah khususnya di Esszone.

Mohd-Zubil-Mat-Som_apmm_KM-Pekan_600
KOTA KINABALU:
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerima sebuah lagi bot peronda pantai dari Jepun semalam.

Kapal yang dinamakan KM Arau bersedia untuk meningkatkan keupayaan operasi agensi tersebut di Sabah.

Pengarah APMM Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata KM Arau sepanjang 87 meter adalah kapal ke-2 disumbangkan oleh Jepun selepas KM Pekan yang berpangkalan di Kuantan yang memulakan beroperasinya pada 2 April lalu.

Zubil dipetik New Sabah Times sebagai berkata KM Arau adalah kapal terbesar yang digunakan oleh APMM Sabah dan ia akan memainkan peranan besar dalam meningkatkan keupayaan operasi APMM di perairan Sabah khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) .

“Kapal ini akan ditugaskan di pantai timur kerana ia mempunyai ketahanan operasi selama 21 hari tanpa perlu mengisi semula minyak dan barangan.

“Sebelum ia mula beroperasi di Sabah, KM Arau akan memulakan perjalanan ke Pelabuhan Klang Jumaat ini untuk majlis pelancarannya,” beliau dipetik sebagai berkata.

Sementara itu, Pegawai Pemerintah KM Arau Kapten Maritim Saiful Lizan Ibrahim berkata beliau dan 24 anak kapal bertolak dari Enoshima, Jepun pada 31 Mei lalu sebelum tiba di Sabah seminggu kemudian.

Krew Malaysia itu tiba di Jepun pada 16 Mei untuk menjalani sesi membiasakan diri, latihan peralatan dan operasi enjin selama 2 minggu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.