
Berpuluh-puluh lagi mangsa cedera dalam 2 serangan itu yang berakhir selepas pertempuran selama beberapa jam ketika sekumpulan penembak menyerbu pejabat di dalam Parlimen.
IS mengeluarkan 1 rakaman video kumpulan penyerang dari dalam bangunan melalui agensi propaganda Amaq – pengakuan yang jarang dibuat ketika serangan masih berlaku.
Polis berkata, semua penyerang terbunuh sekitar jam 3 petang (waktu tempatan), kira-kira 5 jam selepas ia bermula.
Agensi berita Isna melaporkan serangan itu bermula apabila 4 penembak menyerbu kompleks Parlimen di tengah Tehran, mengakibatkan seorang pengawal keselamatan dan seorang lagi individu terbunuh.
Seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri berkata, penyerang yang berpakaian wanita itu memasuki Parlimen melalui pintu masuk pelawat.
Pada masa hampir sama, sekumpulan 3 atau 4 penyerang yang memasuki Makam Khomeini, pengasas Revolusi Islam pada 1979, membunuh seorang pekebun serta mencederakan beberapa mangsa lain.
Perkhidmatan Kecemasan Iran berkata, seramai 12 mangsa terbunuh dan 39 lagi cedera dalam 2 serangan itu.
Seorang daripada 2 penyerang di makam itu ialah wanita, kedua-duanya meletupkan diri. Seorang lagi penyerang meledakkan jaketnya di tingkat 4 bangunan Parlimen.
Seorang pegawai di Makam Khomeini di selatan Tehran yang dipetik agensi berita Fars berkata, “3 atau 4” orang memasuki pintu barat dan melepaskan tembakan.
Kementerian Risikan berkata, pasukan “pengganas” ke-3 berjaya dineutralkan sebelum serangan bermula.