FGV: 8 jam geledah, SPRM bawa turun 3 kotak, 3 beg tarik

FGV: 8 jam geledah, SPRM bawa turun 3 kotak, 3 beg tarik

SPRM memasuki Menara Felda 10.00 pagi keluar meninggalkan bangunan itu bersama pegawainya jam 5.58 petang tadi

sprm-geledah-1
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meninggalkan Menara Felda selepas 8 jam menjalankan siasatan di pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures (FGV) Datuk Zakaria Arshad.

Dalam tempoh itu, SPRM yang diketuai pegawai kanan Sazrul Sazreen bersama 40 penguatkuasa lain membawa turun 4 bekas kotak, 3 beg tarik dan beberapa bungkus platik yang mengandungi dokumen FGV.

SPRM memasuki Menara Felda jam 10.00 pagi keluar meninggalkan bangunan itu bersama pegawainya jam 5.58 petang tadi.

Semalam, Zakaria hadir di ibu pejabat SPRM di Putrajaya dengan membawa beberapa dokumen syarikat itu, selepas dipanggil badan anti-rasuah berkenaan.

“Saya sedia bekerjasama kepada SPRM. Saya tidak takut untuk berdepan situasi ini kerana yakin tidak melakukan apa-apa kesalahan. Mungkin banyak perkara yang boleh disiasat oleh SPRM.

“Dengan penglibatan SPRM sendiri, mungkin banyak persoalan boleh dirungkai dan diselesaikan,” kata Zakaria semalam.

Kelmarin, Lembaga Pengarah FGV mengarahkan Zakaria bercuti serta-merta bagi membolehkan siasatan berhubung tunggakan bayaran sebuah syarikat Afghanistan, Safitex, kepada anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd.

Selain Zakaria, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan FGV Ahmad Tifli Mohd Talha, Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Sdn Bhd Kamarzaman Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading Ahmad Salman Omar turut diarahkan bercuti.

Sementara itu, bekas menteri Datuk Seri Idris Jala tiba di Menara Felda pada 2.33 petang tadi untuk mengumpulkan maklumat mengenai kemelut itu.

Kerajaan semalam melantik Idris sebagai pihak berkecuali untuk meneliti keputusan lembaga pengarah FGV mengarahkan 4 pegawai kanan bercuti.

“Masih lagi mengumpul semua maklumat. Setakat ini kami tidak menubuhkan sebarang jawatankuasa,” katanya kepada Bernama.

Beliau beredar kira-kira 3.40 petang tadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.