
Badrul berkata respon dan pemeriksaan dengan penduduk Jalan Kebun, Klang menunjukkan artikelnya mengandungi kesalahan fakta mengenai premis yang dikatakan diguna oleh PAS untuk program “retreat” jentera pilihan raya.
“Gambar tersebut merupakan ruang solat sebuah surau yang tidak digunakan lagi sebagai surau sejak Mac 2017 setelah Masjid Al Falah Jalan Kebun yang terletak berdekatan mula beroperasi.
“Sehubungan dengan itu saya menarik sebahagian dari tulisan tersebut yang salah fakta dan memohon maaf kepada pihak berkenaan. Saya memohon maaf juga kepada Istana Selangor berkenaan kesilapan fakta dalam persoalan yang dibangkitkan.
“Namun saya pertahankan tulisan saya selebihnya,” kata Badrul di blognya hari ini.
Kelmarin, Badrul menggesa Istana Selangor mengeluarkan pendirian mengenai penggunaan surau tersebut untuk program “retreat” itu, selain penganjuran solat hajat dan bacaan yasin oleh parti politik bagi memenangkan calon pilihan raya mereka.
Catatan itu berkaitan dengan kontroversi Ahli Parlimen Subang Sivarasa Rasiah baru-baru ini, yang dimarahi Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana mengingkari arahan mana-mana ahli politik tidak boleh berceramah atau berucap di dalam masjid atau di kawasan masjid.
Siasatan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) bagaimanapun mendapati surau tersebut sudah ditutup dan bangunan itu ditukar fungsi sebagai pusat ilmu dan kegiatan masyarakat, yang dibuka untuk disewa kepada orang ramai bagi menampung kos operasi Masjid Al Falah Jalan Kebun.
“Ini jelas menunjukkan penulis tidak menyemak terlebih dahulu tentang fakta yang ditulisnya,” kata Pengerusi Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa.
“Justeru, dakwaan penulis blog tersebut bahawa Istana Selangor bersikap berat sebelah dan terlibat dengan politik kepartian adalah satu kenyataan yang tidak berasas dan berbaur fitnah terhadap institusi di raja dan institusi Islam di Selangor.”
Mais hari ini memberi masa 24 jam kepada Badrul untuk menarik balik kenyataan tersebut. “Kegagalan berbuat demikian boleh diambil tindakan di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi Multmedia Malaysia atau didakwa di bawah Akta Fitnah 1957.”
Mengakui kesilapannya, Badrul menarik balik pertanyaan dan perkataan yang bermasalah tetapi mempertahankan bahagian lain dalam artikel tersebut.