
Ini kerana, kata Pengurus Hubungan Luar Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Azrul Mohd Khalib, hubungan diplomatik Malaysia dengan negara terbabit bukan dibina berdasarkan mana-mana isu atau kepentingan semasa.
“Bagaimanapun, sekiranya negara ini dilihat memihak kepada mana-mana isu dan tidak bersifat neutral serta berkecuali, ianya berkemungkinan mendatangkan kesan jangka panjang yang serius,” katanya kepada FMT hari ini.
Kelmarin, Yaman dan kerajaan timur Libya menyertai Arab Saudi, Mesir, Bahrain serta UAE memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar yang didakwa menyokong organisasi “pengganas” termasuk Ikhwanul Muslimin.
Keputusan itu diambil bagi melindungi kerajaan masing-masing daripada keganasan dan ekstremisme.
Malaysia bagaimanapun mengambil pendekatan tunggu dan lihat kerana menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, isu yang membelenggu beberapa negara Asia Barat itu sehingga mencetuskan krisis hubungan diplomatik masih belum jelas.
Azrul yang juga jurucakap NGO dinamakan Bebas berkata, kedudukan dan pendirian neutral serta berkecuali Putrajaya mampu mengelakkan sebarang kesan negatif menimpa negara akibat ketegangan dan perbalahan antara negara Arab itu.
“Yang pentingnya, Malaysia tidak dilihat mengambil posisi mana-mana pihak terbabit.”
Beliau berkata, ada sebab dan justifikasi kurang jelas serta terselindung di sebalik tindakan drastik beberapa negara itu memutuskan hubungan dengan Qatar.
“Tindakan ini jelas bertujuan mengasing dan menghukum kerajaan Qatar,” katanya.