
Pengarah Hak Asasi Manusia dan Kesihatan Masyarakat di Pusat Johns Hopkins Dr Chris Beyrer berkata perang membasmi dadah yang berlarutan sejak 40 tahun dulu, dasar toleransi sifar dan pendekatan yang cenderung ke arah pengawasan keadilan jenayah memaksa pusat itu memeriksa bukti dan melihat impak serta jalan lain untuk bergerak ke depan.
“Soalan pertama yang perlu ditanya: ‘Adakah perang membasmi dadah berjaya mengurangkan bekalan, permintaan dan penyalahgunaan dadah haram?’
“Kebanyakan jawapannya ‘tidak’.”
Beliau bercakap kepada pemberita selepas perbincangan meja bulat mengenai membina kerjasama untuk meningkatkan hasil daripada kesihatan dan keadilan jenayah bagi banduan di Malaysia dan Asia Tenggara di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (Isis) di Malaysia.
“Soalan kedua: ‘Adakah ia membantu menangani ketagihan dan jangkitan berkaitan – terutamanya suntikan dadah – seperti HIV, hepatitis dan tuberculosis?’
“Sekali lagi, jawapannya ‘tidak’. Malah, dasar keadilan jenayah dan pemenjaraan besar-besaran, nampaknya, meningkatkan hidapan dan jangkitan.”
Beyrer berkata oleh pendekatan menghukum tidak mempunyai asas kesihatan atau kawalan narkotik, maka pusat itu mencari bukti daripada pendekatan lain.
Beliau berkata pendekatan yang mempunyai harapan adalah dekriminalisasi iaitu sesetengah dadah tidak lagi dianggap haram.
“Ada banyak bukti menyokong manfaat dekriminalisasi kepada kesihatan, sosial dan jenayah.
“Negara yang mengamalkan pendekatan itu seperti Portugal, Republik Czech dan sesetengah negeri di Amerika Syarikat.”
Beyrer berkata pendekatan lain yang terbukti mempunyai manfaat jelas adalah rawatan penyalahgunaan dadah.
“Ada manfaat jelas dan data saintifik yang menyokong rawatan sukarela dan berasaskan komuniti berbanding rawatan paksa.”