
Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng membuat cabaran itu bagi membuktikan sejauh mana kebenaran dakwaan Annuar kononnya DAP merosakkan masyarakat Cina di Malaysia.
Katanya, sekiranya DAP merosakkan masyarakat Cina dan Umno pembela sebenar masyarakat itu sudah tentu Annuar akan menang pilihan raya menentang calon mereka.
“Kalau Annuar benar percaya apa yang dia cakap (DAP perosak dan Umno yang bantu Cina) saya rasa dia patut uji sama ada kenyataan dia diterima masyarakat Cina atau tidak dengan bertanding di kawasan Cina pada PRU akan datang.
“Saya cabar dia bertanding di Pulau Pinang di kawasan Cina lawan DAP untuk uji masyarakat Cina dirosak DAP atau dibantu Umno, biar keputusan pilihan raya tentukan nanti sama ada dia itu sebenarnya batu api dan pembohong,” katanya ketika ditemui FMT di pusat khidmat masyarakat DAP Segambut.
26 Mei lalu Annuar mendakwa DAP punca kerosakan kaum Cina.
Katanya masyarakat Cina sebelum ini menerima Umno sebagai tunjang pemerintahan negara, bersama MCA dan parti mewakili kaum lain dalam Perikatan.
“Orang yang paling sayang pada orang Cina adalah Melayu Umno,” katanya.
“Yang menyelamatkan orang Cina adalah Umno. Wujud sekolah Cina atas restu Umno. Lihat di Indonesia dan Thailand…kaum Cina tak boleh pakai nama Cina. Hanya Cina di Malaysia nikmati itu semua,” kata Annuar.