Hakim baharu dengar permohonan Najib halang Tony Pua

Hakim baharu dengar permohonan Najib halang Tony Pua

Najib mendakwa klip video berdurasi 2 minit dan 21 saat itu boleh diakses dan ditonton secara meluas dan mudah di internet.

tony-pua-gavel-2
KUALA LUMPUR: Permohonan injunksi Datuk Seri Najib Razak bagi menghalang Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua Kiam Wee daripada memfitnahnya berhubung satu klip video yang dimuatkan di laman Facebook, akan didengar di depan hakim Mahkamah Tinggi baharu, Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab.

Peguam Nor Hazira Abu Haiyan yang mewakili perdana menteri berkata Hakim Mohd Zaki akan mendengar permohonan injunksi inter-parte itu selepas seorang pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi di sini, yang sepatutnya mendengar permohonan tersebut menarik diri daripada mendengar permohonan berkenaan.

Pada 24 Mei lepas, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menarik diri daripada mendengar permohonan itu atas alasan beliau pernah aktif dalam politik serta menjadi anggota pentadbiran dan Dewan Negara sebelum menganggotai badan kehakiman.

Sementara itu, Joanne berkata permohonan injunksi itu akan didengar pada 8 Jun.

Pada 21 April lepas, Hakim Abu Bakar Jais membenarkan permohonan Najib bagi mendapatkan injunksi sebelah pihak (ex-parte) untuk menghalang Pua selaku defendan daripada menerbitkan perkataan sama atau serupa seperti yang terkandung dalam kenyataan defendan itu.

Plaintif mendakwa klip video berdurasi 2 minit dan 21 saat itu bertajuk “BN Govt abandons all Bills to give precedence to PAS RUU355 Private Member’s Bill”, boleh diakses dan ditonton secara meluas dan mudah di internet.

Najib mendakwa kenyataan dalam “live video” itu mengandungi perkataan yang merujuk secara spesifik kepadanya dan membawa maksud beliau menyalahgunakan kuasa dengan memberi arahan melalui Kabinet kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat agar memberi laluan kepada anggota Parlimen Marang untuk mengusulkan rang undang-undang persendirian dan mengetepikan rang undang-undang yang lain.

Najib turut memohon ganti rugi am, tambahan, teladan, faedah dan satu perintah injunksi bagi menahan defendan atau ejennya dalam apa cara sekali pun daripada menerbitkan lebih lanjut perkataan fitnah terhadapnya selain memohon perintah supaya Pua mengeluarkan “live video” itu daripada laman Facebook beliau dengan serta-merta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.