
Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan berkata, parti itu melihat tindakan akhbar itu sebagai penghinaan dan provokasi berulang terhadap umat Islam di negara ini.
“Kerajaan mesti serius dalam isu sebegini. Jangan bertindak secara lebih kurang. Ini bukan kali pertama perlecehan agama dan sentimen kaum dilakukan secara terbuka dan berani,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sabtu lalu, akhbar itu memaparkan gambar umat Islam menunaikan solat tarawih pada malam pertama Ramadan dengan laporan muka depan bertajuk “Malaysian terrorist leader”.
Menyifatkan tindakan The Star sebagai keterlaluan dan biadab, Nasrudin berkata, permohonan maaf akhbar itu tidak memadai dan menganggapnya sebagai satu lagi bentuk penghinaan.
“Sebelum ini akhbar Nanyang Siang Pau mempersenda presiden PAS dengan karikatur monyet berserban. The Star gagal mempelajarinya,” katanya.
Dalam permohonan maafnya, The Star berkata, mereka tidak berniat mengaitkan Islam dengan keganasan, sebaliknya sudah menjadi amalan untuk menerbitkan gambar umat Islam menunaikan solat tarawih di muka depan pada hari pertama Ramadan.
“Kebetulan cerita utama mengenai seorang pemimpin pengganas, kemudian ramai hubungkan tajuk dengan gambar berkenaan,” kata akhbar itu.
Semalam, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim yang kecewa dengan tindakan akhbar itu berkata, pihaknya akan memanggil ketua pengarang The Star untuk mendapatkan penjelasan.
Mengulas lanjut, Nasrudin berkata, beliau tidak mahu lagi melihat “sebarang percubaan menguji kesabaran umat Islam” kerana sikap itu bakal memakan diri.
“Kami (juga) tidak mahu The Star mengambil sikap sama seperti DAP yang anti-Islam dan mengeksploitasi isu kerana kami yakin ramai orang bukan Islam yang tidak setuju dengan sikap sebegitu,” katanya.