
Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, kementerian berasa amat dukacita berhubung penyiaran gambar dan tajuk pada muka depannya yang tidak sesuai.
“Ia mengelirukan, menimbulkan salah faham dan prejudis terhadap umat Islam yang mungkin akan dikaitkan dengan keganasan. Ia juga secara tidak langsung mempersendakan agama Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pagi tadi, 4 wakil dari The Star hadir ke KDN bagi memberi penjelasan berhubung laporan muka depan akhbar bertajuk “Malaysian Terrorist Leader” disertai gambar orang Islam bersolat terawih Sabtu lepas.
Empat wakil tersebut ialah Pengarang Pakar M Shanmugam serta 3 pengarang eksekutif iaitu Brian Martin, Dorairaj Nadason dan Rozaid Abdul Rahman.
The Star semalam membuat permohonan maaf di muka depan akhbar itu dan berkata muka depan yang memaparkan tajuk berita mengenai keganasan, diikuti dengan gambar orang bersolat terawih adalah kerana “kesilapan” di pihaknya.
“Ia menjadi amalan The Star untuk menghormati hari pertama Ramadan setiap tahun dan meletakkan gambar warga Islam menjalankan solat tarawih pertama di muka depan akhbar,” kata akhbar itu.
KDN juga mengingatkan semua akhbar memastikan kandungan penerbitan tidak mengandungi unsur menyentuh sensitiviti dan boleh memudaratan ketenteraman awam.
“Pihak akhbar bertanggungjawab memastikan perpaduan dan kesejahteraan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya sentiasa terpelihara,” katanya.
Beberapa pihak termasuk pemimpin parti politik seperti PAS menggesa agar kerajaan tidak lagi memberi muka kepada akhbar itu kerana ia suatu penghinaan dan provokasi berulang terhadap umat Islam.
Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hasan berkata permohonan maaf akhbar itu juga tidak memadai dan menganggapnya sebagai satu lagi bentuk penghinaan.