
Ketua Umno negeri Datuk Zainal Abidin Osman semalam menyeru Pulau Pinang menggunakan dana daripada “RM12.5 bilion” hasil jualan tanah untuk membiaya projek prasarana daripada meminjam wang dari China.
Pulau Pinang baru-baru ini mengumumkan rancangan untuk menerima kemudahan pinjaman yang ditawarkan sebuah bank milik kerajaan China untuk membiaya projek prasarana di negeri itu.
Lim menyifatkan kenyataan Zainal itu sebagai “fitnah” kerana hasil kerajaan negeri daripada jualan tanah hanya RM1.1 bilion sejak 2008.

Sebagai perbandingan, Lim berkata kerajaan BN sebelum ini menjual 3,661 ekar tanah untuk RM1.05 bilion dari awal 1990an hingga 2008.
Beliau berkata kerajaan Pulau Pinang hari ini menjual 106.1 ekar tanah untuk RM1.11 bilion.
“Pulau Pinang jual 36 kali kurang daripada BN, tetapi peroleh lebih banyak wang kerana persaingan secara tender terbuka.
“Manakala bagi potensi yang bakal mengubah ekonomi, rundingan secara terus menjadi norma antarabangsa. Seperti membawa IKEA masuk ke Batu Kawan, urusan itu dimuktamadkan melalui rundingan secara terus.
“Akhir sekali, bandingkan itu kepada jualan tanah bernilai RM156 juta untuk membina hospital swasta terbesar di Malaysia, yang menghasilkan nilai ekonomi RM7 bilion untuk kerajaan negeri,” kata Lim kepada pemberita di Komtar hari ini.
Lim berkata selain tender terbuka bernilai RM38 bilion yang dijalankan di Pulau Pinang, hanya 1% projek atau jualan dijalankan secara rundingan terus.
Semalam Zainal membidas Lim kerana meluluskan undang-undang yang membolehkan kerajaan negeri meminjam wang dari bank atau institusi kewangan.
Zainail memberitahu Bernama BN tidak pernah meminjam dari luar negara dan Lim sepatutnya menggunakan dana daripada hasil kutipan dalam negeri.