
Beliau berkata pembaziran berlaku pada bulan puasa antara lain disebabkan kira-kira 50% hidangan bufet di hotel terbuang begitu sahaja biarpun pelanggan membayar dengan harga tinggi.
“Perlu buat satu pendekatan baharu dan satu peraturan untuk mengurangkan pembaziran ini. Sebagai contoh sepatutnya dibolehkan hotel memberi lebihan makanan hidangan bufet yang tidak kotor (tidak tercemar) kepada orang lain supaya tidak dibuang begitu sahaja,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye supaya kerajaan menganjurkan program kesedaran membendung pembaziran makanan.
Semalam Lee berkata kajian Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menunjukkan rakyat Malaysia membuang kira-kira 17,800 tan makanan setiap hari.
Terdahulu Wan Junaidi yang juga Anggota Parlimen Santubong menyampaikan sumbangan kebajikan bulan Ramadan kepada 810 penerima terdiri daripada warga emas, anak yatim dan orang kelainan upaya (OKU) bagi Zon Seberang Hilir dan Zon Santubong.