
Datuk Seri Nadzri Siron berkata, Zulkifli tidak melakukan apa-apa kesalahan kerana terdapat pengecualian dalam isu pemakaian topi keledar apabila ia berkaitan dengan agama.
“Isu minta maaf tidak timbul sebenarnya, sebab akta kita beri pengecualian. Siapa yang pakai serban dan mereka yang ada kaitan dengan agama dibenarkan (tidak memakai topi keledar).
“Mungkin isu tersebut tersebar menyebabkan Zulkifli meminta maaf. Tetapi sebenarnya tidak ada apa-apa kesalahan. Malah, kalau ada operasi dilakukan, kita boleh kecualikan,” katanya kepada FMT hari ini.
Mengikut Kaedah-kaedah Motosikal (Topi Keledar) 1973 yang dibaca bersama Pengecualian 1975 di mana kelonggaran diberikan kepada mereka yang memakai serban seperti haji, lebai dan kaum Sikh.
Menerusi kenyataan di Facebook, Zulkifli menjelaskan insiden itu berlaku kerana beliau terlibat dalam program cerapan anak bulan Ramadan di Menara Kuala Lumpur pada Jumaat petang.
“Mungkin ada yang ternampak kami membonceng motosikal tanpa memakai topi keledar sebentar tadi (semalam).”
“Memandangkan jalan raya agak sesak dan tidak mahu menyusahkan penganjur dan kelancaran majlis kerana terperangkap di jalan raya, keputusan diambil untuk membonceng motosikal ini,” kata Zulkifli.
Mufti Wilayah mohon maaf bonceng motosikal tanpa topi keledar