
Beliau berkata, keputusan untuk melaksanakan hukum hudud juga hanya ditentukan Dewan Undangan Negeri dan seterusnya perlu mendapat persetujuan Sultan Terengganu.
“Kita sekarang memberi tumpuan kepada Rang Undang-undang 355…jika ia diluluskan, baru kita boleh lihat apa yang boleh (hukum syariah) dilaksanakan di bawah RUU kerana tidak mahu terburu-buru dalam soal ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengagihkan kira-kira 1,500 bungkus bubur lambuk sumbangan sebuah syarikat korporat kepada orang ramai di Masjid Abidin hari ini.
Razif mengulas kenyataan Exco Telekomunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas Terengganu, Ghazali Taib yang Terengganu akan tetap memperjuangkan pelaksanaan Undang-undang Syariah 2001 di negeri itu, ketika Kembara Dakwah Media Terengganu ke Acheh, semalam.
Ghazali turut berkata, Terengganu akan menjadikan Aceh, Indonesia sebagai model dalam pelaksanaan hukum hudud jika ia dilaksanakan kelak.
Mengulas lanjut, Razif berkata, kadar jenayah di Terengganu juga semakin menurun hasil pelaksanaan undang-undang sedia ada.
“Mungkin itu pandangan peribadi beliau (Ghazali) secara umum terhadap peruntukan yang pernah kerajaan negeri luluskan sebelum ini,” katanya.
Terengganu sehingga kini belum melaksanakan Undang-undang Islam dan Syariah 2001 kerana masih menunggu undang-undang itu diluluskan di Parlimen.
Di Banda Aceh, Ghazali berkata, kerajaan Terengganu tidak akan terburu-buru dalam melaksanakan undang-undang syariah Islam di negeri itu, namun pada masa sama, akan terus melakukan penambahbaikan secara berperingkat dari semasa ke semasa.
Beliau berkata, “kita tidak berupaya melaksanakannya 100% seperti di Aceh kerana menghadapi banyak batasan dari sudut bidang kuasa Mahkamah Syariah dan perkara berkaitan akta di Parlimen.
“Bagi memastikan undang-undang syariah Islam berjalan dengan baik di kalangan umat Islam di Terengganu, Insya Allah kerajaan negeri akan memaksimumkan pelaksanaan perundangan syariah Islam berdasarkan enakmen yang ada dan yang dipinda agar ia memberi kebaikan kepada umat Islam di Terengganu, termasuk pindaan enakmen keluarga baru-baru ini.”
Beliau berkata demikian kepada pemberita susulan tersebarnya laporan berita di laman sosial hari ini yang memetik beliau sebagai berkata, kononnya Terengganu akan melaksanakan hudud seperti Aceh.