
Kenyataan SPAD yang merujuk kepada dakwaan kes pemandu Uber merompak seorang penumpang wanita di Puchong, Ahad lalu itu, menyebut walaupun kejadian itu diklasifikasikan sebagai perbuatan jenayah di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM), SPAD amat memandang serius perkara tersebut.
SPAD turut menyarankan Uber mengkaji semula proses saringan pemandu mereka pada kadar segera.
“Apabila peraturan e-hailing diluluskan Parlimen (dijangka pada Julai 2017), pengendali perkhidmatan e-hailing akan bertanggungjawab untuk mengamalkan standard keselamatan dan mutu perkhidmatan tertinggi.
“Di bawah pindaan yang dicadangkan bagi Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, semua pemandu e-hailing perlu mendaftar dengan SPAD dan akan tertakluk kepada pemeriksaan latar belakang yang ketat dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain seperti PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan,” menurut kenyataan itu.
Suruhanjaya itu turut mengucapkan syabas atas tindakan pantas PDRM dalam memberkas pemandu berusia 22 tahun itu bagi siasatan lanjut dan pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya apabila diperlukan.