Guru dituduh bocor soalan UPSR, diperintah bela diri

Guru dituduh bocor soalan UPSR, diperintah bela diri

Dalam keputusan majoriti 2-1 hari ini, Hakim Datuk Mohtarudin Baki yang mempengerusikan panel 3 hakim, menolak pembebasan L Subbarau @ Kamalanathan, 37.

Subbarau-2
PUTRAJAYA: Seorang guru sekolah diperintahkan Mahkamah Rayuan hari ini supaya membela diri terhadap pertuduhan memiliki secara tidak sah kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2014.

Dalam keputusan majoriti 2-1 yang disampaikan hari ini, Hakim Datuk Mohtarudin Baki yang mempengerusikan panel 3 hakim, menolak pembebasan L Subbarau @ Kamalanathan, 37.

Beliau membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen, yang dikekalkan Mahkamah Tinggi dalam membebaskan Subbarau, di akhir kes pendakwaan tanpa memanggilnya membela diri.

Mohtarudin dan Datuk Vernon Ong Lam Kiat membuat keputusan berpihak kepada pendakwaan, manakala Datuk Harmindar Singh Dhaliwal pula menentang.

Ketika menyampaikan keputusannya itu, Mohtarudin menegaskan kuasa untuk mengklasifikasikan kertas peperiksaan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 terletak pada pegawai berkenaan.

“Saya dan Vernon mendapati ada merit dalam rayuan ini dan membenarkan rayuan ini serta memerintahkan Subbarau membela diri atas pertuduhan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohtarudin berkata, Harmindar berpendapat kegagalan pegawai berkenaan untuk mengklasifikasikan setiap kertas peperiksaan membawa padah kepada kes pendakwaan.

Beliau menetapkan 16 Jun untuk sebutan kes itu di Mahkamah Sesyen Seremban.

Dalam penghujahannya pada April lalu, Timbalan Pendakwa Raya Awang Armadajaya Awang Mahmud berhujah bekas pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia, Datuk Dr Na’imah Ishak diberi kuasa untuk mengklasifikasikan kertas peperiksaan di bawah OSA tanpa memerlukan kebenaran menteri pendidikan.

Subbarau didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban dengan 5 pertuduhan memiliki secara tidak sah kertas Matematik 035/1 dan Matematik 015/1; Bahasa Tamil-Pemahaman 036 dan Bahasa Tamil-Penulisan 037; serta Sains 081 menerusi sebuah telefon pintar.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 8 malam pada 8 September dan 16 September 2014, di sebuah rumah di Jalan Bukit Galena 13, Taman Bukit Galena, Fasa 4, Seremban, Negeri Sembilan.

Mahkamah Sesyen membebaskannya tanpa dipanggil membela diri pada 16 April 2015 dan pada 5 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengekalkan pembebasan Subbarau yang menyebabkan pihak pendakwaan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Subbarau kelihatan tenang ketika hakim menyampaikan keputusan.

Dia diwakili peguam M Kulasegaran dan V Vemal Arasan, manakala Timbalan Pendakwa Raya Nadia Hanim Mohd Tajuddin mewakili pendakwaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.