
Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata demikian selepas mendengar penerangan Azmin berhubung perkara itu dalam mesyuarat Biro Politik PKR malam ini.
Katanya, Azmin memaklumkan semua exco dan adun PAS turut memberi jaminan akan terus menyokong dasar kerajaan Selangor seperti yang digariskan pelan induk pentadbiran “Buku Jingga” Pakatan Rakyat yang sudah dibubarkan.
Beliau berkata, Azmin yang juga timbalan presiden PKR menjelaskan pemimpin PAS turut menyuarakan keyakinan terhadap kepimpinannya di negeri itu.
“Biro Politik PKR bersetuju dengan pendekatan menteri besar Selangor untuk menjamin kestabilan menjelang PRU14 dan meneruskan usaha membangunkan Selangor selaras mandat besar rakyat pada PRU lalu.
“Kami yakin terhadap kepimpinan Azmin untuk terus menerajui kerajaan negeri dan melaksanakan pembangunan demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Selangor,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Azmin dilihat mengadakan perbincangan dengan 3 exco PAS dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi di Sekinchan.
Sallehen bagaimanapun menafikan perbincangan itu menyentuh soal kedudukan PAS dalam kerajaan negeri.
Bertentangan dengan Selangor, 3 wakil PKR Kelantan yang dilantik sebagai ahli Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) dilaporkan tidak hadir pada majlis angkat sumpah 23 Mei lalu.
Ia dipercayai berikutan arahan PKR pada 16 Mei lalu agar semua pemimpin negeri yang dilantik memegang jawatan dalam kerajaan PAS itu melepaskan jawatan serta-merta.
Azmin belum maklum penamatan kerjasama PAS-PKR kepada Istana