
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata semua pegawai itu kini diberi cuti rehat selama seminggu sebelum mula bertugas di MAINPP minggu depan.
“Mereka akan ditempatkan di MAINPP secara ‘pool’ sehingga kes mereka selesai. Ini bermaksud mereka ditempatkan sebagai petugas di sana.
“Minggu ini mereka cuti rehat seminggu dan siapa yang boleh terus berada (bertugas) di pejabat ZPP akan ditentukan dalam mesyuarat anggota lembaga pengarah ZPP Isnin ini,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Beliau berkata pihaknya turut melantik Pengarah Jabatan Hal Ehwal Islam Pulau Pinang Datuk Sazali Hussain sebagai pemangku ketua pegawai eksekutif ZPP.
Dalam pada itu, Malik berkata ZPP menubuhkan sebuah jawatankuasa kewangan yang dipengerusikan pegawai kewangan negeri untuk menjalankan penyiasatan berhubung perjalanan badan itu.
Beliau berkata jawatankuasa itu akan dianggotai oleh jawatankuasa audit ZPP, ketua audit dalaman kerajaan negeri, bendahari negeri dan pegawai MAINPP sebagai setiausaha jawatankuasa ini.
“Jawatankuasa ini mengadakan mesyuarat dan mereka akan memulakan tugas secepat mungkin. Semalam, saya juga mengadakan sesi taklimat dan dialog dengan kakitangan ZPP selain untuk menyuntik kembali semangat mereka yang hilang.
“Dengan langkah yang telah dan sedang dilakukan, diharapkan aktiviti dan pentadbiran ZPP terus berjalan lancar untuk membantu golongan asnaf di negeri ini,” katanya.
Bermula 9 Mei lepas, seramai 15 individu termasuk 7 pegawai kanan ZPP dan kontraktor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri itu bagi membantu siasatan kes dakwaan penyelewengan wang zakat untuk projek pembangunan masyarakat ZPP sejak 3 tahun lepas.
Semua mereka dibebaskan dengan jaminan SPRM.