
Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak yang melakukan rondaan di Air Kuning mahu menahan kenderaan suspek kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Pihak polis meminta lelaki itu memberhentikan keretanya, namun suspek terus memecut laju dan kenderaan polis yang tiba di tempat kejadian memotong kereta suspek sebelum kereta suspek terbabas di tepi jalan.
“Suspek keluar dari kenderaan dan melepaskan 3 das tembakan ke arah polis, manakala pihak polis membalas 2 das tembakan mengenai dada suspek dan suspek mati di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Menurut Hasnan, polis menjumpai sepucuk pistol dan di dalamnya terdapat 1 butir peluru, 3 kelongsong di tempat kejadian, serta 3 parang di dalam kereta suspek.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek berumur 40 tahun itu juga ahli kumpulan “Geng 04” yang mempunyai 7 rekod jenayah lampau dari 2006 hingga 2013 membabitkan samun, bunuh dan curi kenderaan.