
Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata keputusan itu dicapai selepas dicadangkan oleh Jawatankuasa Rayuan Maktab (JRM) dalam mesyuaratnya Isnin lepas yang turut memberi peluang kepada semua pelajar terbabit untuk membela diri.
“Ini adalah pengajaran kepada mana-mana pelajar agar tidak melakukan perkara di luar kesopanan dan kesusilaan kita. Ibu bapa tidak perlu risau kerana kita tidak akan berkompromi dengan kes seperti ini.
“Saya juga nak tegaskan kita tidak menganiaya sesiapa,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sijil Program Latihan Teknikal dan Keusahawanan Masyarakat Islam Kemboja hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Mara Azhar Abdul Manaf dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.
Mengulas lanjut, beliau berkata surat penamatan pengajian sudah dihantar kepada semua ibu bapa 10 pelajar terbabit, semalam.
Pada 18 Mei lepas, media melaporkan 6 pelajar MRSM Parit menjadi mangsa buli apabila dipukul oleh 10 senior mereka kerana mangsa enggan meminjamkan kasut bola awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Mohamad Zainal Abdullah dipetik sebagai berkata kes itu membabitkan mangsa yang semuanya berusia 14 tahun yang dipukul pelajar “senior” berumur 15 dan 16 tahun.
Sementara itu, Azhar berkata semua 6 pelajar yang masih trauma dengan kejadian itu diberikan kaunseling.
“Malah ada di antara mereka membuat permohonan untuk ditukarkan ke MRSM lain dan itu sudah kita luluskan,” katanya.
Terdahulu, pada majlis itu, Ahmad Jazlan menyampaikan sijil kepada 8 beliawanis Islam Kemboja yang mengikuti kursus berkaitan fesyen selama 2 bulan bermula 3 April lepas.
Program itu yang merupakan kolaborasi antara Mara dan Jakim, bertujuan untuk menyediakan bantuan teknikal kepada masyarakat Islam Kemboja bagi membolehkan mereka memperbaiki sosioekonomi mereka di negara berkenaan.