
Tertuduh, Leftenan Kolonel (B) Kamal Bahrin Nali, 47, didakwa meminta rasuah itu daripada syarikat kontraktor alat ganti pesawat sebagai upah membantu mendapatkan bayaran tertunggak bernilai lebih RM14 juta pada 2011.
“Tertuduh mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di depan Hakim Madihah Harullah,” menurut kenyataan SPRM hari ini.
Kamal Bahrin dituduh di bawah Seksyen16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama iaitu penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda RM10,000 atau 5 kali nilai suapan.
“Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin dan perbicaraan ditetapkan pada 3 Julai 2017.
Semalam, Mahkamah Sesyen Shah Alam mendakwa Kamal Bahrin menerima rasuah sebanyak RM500,000 daripada pemilik syarikat sama dalam bentuk 2 keping cek Affin Bank Berhad dan dituduh di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh.