
Perdana menteri berkata, NTP memainkan peranan besar dalam membawa negara keluar daripada perangkap pendapatan pertengahan seperti yang dialami pada 2009.
“Pada akhir 2016, Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita meningkat kepada AS$10,010 berbanding sasaran pendapatan tinggi yang dianggarkan pada AS$12,272 tahun lepas, menurut anggaran Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu),” katanya dalam perutusan Laporan Tahunan 2016 Program Transformasi Negara (NTP) yang dikeluarkan hari ini.
Anggaran Pemandu itu dibuat berdasarkan pengiraan PNK per kapita Bank Dunia dengan kaedah Atlas yang menggunakan maklumat awam.
Najib berkata, NTP turut membantu mewujudkan lebih 2.26 juta pekerjaan dalam tempoh 6 tahun kebelakangan ini.
Mengenai pencapaian lain, Najib berkata, pembangunan sebuah sistem pengangkutan bertaraf dunia pastinya antara janji terbesar yang dikotakan semasa NTP dilancarkan pada 2010.
“Pada Disember 2016, kita sama-sama menyaksikan impian saya terhadap sistem pengangkutan awam yang cekap, boleh dipercayai dan selamat untuk rakyat, semakin hampir menjadi kenyataan dengan pelancaran projek Transit Aliran Massa (MRT) di Lembah Klang, selain pengembangan kapasiti dan penaiktarafan infrastruktur rangkaian pengangkutan awam sedia ada,” katanya.
Sementara itu, Najib berkata, usaha mempelbagaikan sumber hasil kerajaan berjaya mengurangkan sumbangan daripada hasil berkaitan minyak dan gas daripada 41.3% pada 2009 kepada 14.7% pada 2016.
Menyentuh Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta rasionalisasi subsidi yang diperkenalkan, Najib berkata, kerajaan mengutip RM38.5 bilion pada 2016, sekali gus mengimbangi kekurangan hasil kerajaan sebanyak RM30 bilion disebabkan kejatuhan harga minyak hampir 50%.
Defisit fiskal kerajaan yang terus berkurangan kepada 3.1% sekali gus memastikan negara berada di landasan tepat untuk mencapai bajet seimbang menjelang 2020, katanya.
Beliau menjelaskan, ini membolehkan kerajaan memperkenalkan sistem subsidi lebih cekap seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang meringankan beban 7.28 juta isi rumah pada 2016.
Mengenai pencapaian berkaitan penambahbaikan kehidupan rakyat terutama di luar bandar, Najib berkata, kerajaan menyiapkan pembinaan 6,041km jalan raya di kawasan luar bandar berbanding 750km jalan raya di luar bandar yang dibina pada tahun pertama program NTP pada 2010.
Perdana menteri turut berkongsi pencapaian lain, termasuk pembinaan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) di Johor yang merupakan hab bertaraf dunia bagi aktiviti minyak dan gas hiliran yang menarik pelaburan besar pihak swasta serta mampu memacu keupayaan minyak dan gas negara untuk bergerak lebih tinggi dalam rantaian nilai di persada global.
Secara keseluruhannya, Najib berkata, Malaysia muncul sebagai model bagi negara lain yang ingin melaksanakan transformasi.
Pencapaian ini, katanya, membuktikan model transformasi Malaysia merupakan model yang benar-benar berjaya dan menawarkan pengalaman serta iktibar berharga yang boleh dimanfaatkan negara lain secara bersama.
“Selayaknyalah kita berbangga dengan segala pencapaian ini, namun kerja kita sebenarnya masih jauh daripada selesai.
“Kerajaan tidak akan berdiam diri sehingga kita berjaya menjulang matlamat berpendapatan tinggi, kemampanan bertambah baik serta keinklusifan yang meluas dalam ekonomi kita,” katanya.
Najib berkata, perjalanan transformasi negara bukanlah senang, namun beliau yakin rakyat akan bersama menyaksikan kejayaan negara menjulang status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Beliau turut menzahirkan penghargaan setulusnya kepada perkhidmatan awam atas dedikasi yang dicurahkan mereka dalam memacu negara untuk mencapai aspirasi kerajaan.
“Saya yakin sepanjang tempoh 6 tahun lepas, perkhidmatan awam telah membina kapasiti dan menerima guna proses yang diperlukan untuk meneruskan program NTP,” katanya.
Sudah tiba masanya bagi perkhidmatan awam untuk mengambil alih tanggungjawab NTP daripada Pemandu yang sehingga tahap ini memantau dan mengurus pencapaian transformasi yang dilaksanakan perkhidmatan awam.