Zahid: Rombakan besar polis dibuat secara dalaman

Zahid: Rombakan besar polis dibuat secara dalaman

TPM menyambut baik rombakan besar-besaran untuk membetulkan organisasi polis dari dalam.

zahid-hamidi-polis-pdrm-rombakan
DENGKIL: Polis sedang melaksanakan rombakan besar-besaran secara dalaman namun tidak mengumumkan perinciannya bagi mengelak salah sangka masyarakat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata beliau menyambut baik langkah yang dilakukan untuk membetulkan organisasi penguatkuasaan itu dari dalam.

Pada 15 Mei lepas, polis mengumumkan bakal melakukan rombakan besar-besaran terhadap Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman susulan penangkapan 16 anggota termasuk pegawai kanan jabatan yang dipercayai terlibat melindungi sindiket pengedaran dadah baru-baru ini.

Zahid menghargai pemantauan dan penguatkuasaan agensi luar terhadap polis dan kementerian dalam negeri namun publisiti berlebihan akan memberi persepsi amat negatif terhadap badan penguatkuasaan itu.

Beliau juga menyatakan komitmen kementerian dan polis untuk melakukan pembaharuan dan mendengar denyut nadi serta sungutan rakyat.

“Beri kepercayaan kepada saya dan kepimpinan utama polis untuk melakukan sesuatu yang baik demi rakyat dan negara,” katanya kepada pemberita selepas program makan tengah hari dan solat Zuhur di Surau Kampung Orang Asli Bukit Dugang di sini.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim yang turut hadir pada program itu berkata polis sedang mempertimbang untuk melaksanakan dasar pertukaran 3 tahun sekali bagi jawatan sensitif dengan lebih tegas bagi mengelak seseorang anggota dan pegawai berada di tempat sensitif terlalu lama.

“Kita sedang lihat sistem dalaman mengenai pertukaran selepas jangka masa tertentu. Kadangkala bukan kita tidak mahu tukar, tetapi banyak faktor yang kita mesti lihat, anak sekolah, kos pertukaran dan sebagainya,” katanya.

Mengenai penahanan pegawai dan anggota terbabit, beliau berkata polis sudah dan sedang mengambil tindakan pembetulan untuk memastikan pegawai di tempat sensitif dapat menjalankan tugas dan amanah yang diberi kepada mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.