Ketua Pemuda nafi PAS beri talian hayat kepada Umno

Ketua Pemuda nafi PAS beri talian hayat kepada Umno

Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, PAS akan membuat sesuatu keputusan berdasarkan agenda atau dasar kerajaan.

Muhammad-Khalil-Abdul-Hadi
PETALING JAYA: Kerjasama PAS dengan Umno berkaitan Islam bukannya satu bentuk talian hayat kepada Barisan Nasional, kata ketua Pemuda parti Islam itu.

Muhammad Khalil Abdul Hadi yang dipetik Sinar Harian berkata, parti itu akan membuat sesuatu keputusan berdasarkan agenda atau dasar kerajaan.

“Jika ia agenda yang baik, kita akan sokong. Jika tidak baik, kita akan tegur dan nasihat dengan cara yang betul.

“Ini bukan kita beri talian hayat kepada Umno-BN. Ini adalah satu politik matang yang diambil PAS untuk kita menjadi sebuah negara maju pada masa akan datang,” katanya kepada akhbar itu.

Jumaat lalu, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjawab soalan pengguna Facebook mendakwa PAS sejak akhir-akhir ini dilihat lebih mengutamakan hubungan dengan Umno, sehinggakan sanggup menolak dan menamatkan hubungan bersama rakan pembangkang lain dan merencatkan usaha PPBM mewujudkan pakatan pembangkang tunggal di negara ini.

Katanya, PPBM dan rakan politik, termasuk PKR dan DAP berkali-kali memujuk PAS menjalin kerjasama, namun parti Islam menolak tawaran mereka.

“Sehingga kita lewatkan penubuhan Pakatan Harapan kerana mahu mendapat persetujuan PAS, tetapi PAS lebih utamakan hubungan dengan Umno,” kata bekas perdana menteri itu minggu lalu.

Mengulas lanjut, Khalil berkata, musuh PAS khususnya DAP juga tidak mengotakan janji mereka.

“Sebagai contoh, dalam isu berkaitan pembangunan Pulau Pinang, mereka boleh berbincang dengan kerajaan pusat, boleh duduk semeja dan bergurau senda.

“Bila PAS mengambil sikap sama dalam agenda Islam yang menjadi kepentingan bersama dalam negara kita tidak kira PAS atau Umno, lalu mereka kata PAS beri talian hayat kepada Umno. Kononnya PAS mahu berbaik dengan Umno dan lain-lain tuduhan.”

Mengenai keputusan sebulat suara Majlis Syura Ulama PAS untuk menamatkan kerjasama dengan PKR, Khalil berkata, tindakan itu betul walaupun beliau tidak “rasa” parti itu akan menjadi lebih kuat.

“Kerana dalam politik Islam, kita bukan saja melihat dari sudut kekuatan orang yang sokong kita kerana itu mengikut fahaman barat.

“Sesuatu yang dibuat mestilah mahu dapat sokongan ramai khususnya dalam PRU, tetapi dalam politik Islam, PAS sebagai sebuah parti bertunjangkan politik Islam yang asasnya mestilah politik benar.

“Dari sudut hubungan dengan PKR, ini adalah keputusan yang benar,” katanya yang baru dilantik menerajui sayap Pemuda PAS akhir bulan lalu menggantikan Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang melepaskan jawatannya bagi memberi laluan kepada muka baharu pada pemilihan tahun ini.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.