
Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, SOP itu dijangka siap dalam tempoh 1 bulan lagi untuk memastikan tiada lagi insiden maut berlaku, seperti kejadian 2 penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) maut dihempap pokok ketika mengikuti latihan ikhtiar hidup di kawasan air terjun Lata Charok di Janda Baik, Bentong baru-baru ini.
“Kita sedang olah cara pelaksanaannya di peringkat kementerian,” katanya selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang ‘Soaring Upwards i-Video Competition 2017’ anjuran Universiti Multimedia Malaysia (MMU) hari ini.
Ditanya mengenai arahan KPT supaya semua IPT menghentikan aktiviti berkaitan rekreasi hutan serta-merta susulan kejadian malang itu, Idris berkata, arahan itu akan ditarik balik apabila SOP itu siap kelak.
Mengulas kenyataan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang penganjur aktiviti itu tidak mendapat permit, beliau perkata, perkara itu juga akan dimasukkan sebagai sebahagian SOP berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira 4 pagi 13 Mei lepas, 2 penuntut UiTM – Noorain Mohtar, 23, dan Muhammad Kamil Md Sukri, 22, maut dihempap pokok tumbang ketika menjalani aktiviti perkhemahan di Lata Charok.
Enam lagi penuntut cedera, termasuk seorang parah.
Laporan menyatakan 140 penuntut dan 4 pensyarah terlibat dalam aktiviti itu.
Polis sahkan 2 pelajar UiTM maut, 6 cedera dihempap pokok di Janda Baik