Tangkapan SPRM bukti pendedahan saya benar, kata Pengerusi MyWatch

Tangkapan SPRM bukti pendedahan saya benar, kata Pengerusi MyWatch

Pengerusi MyWatch berkata, siri penangkapan kebelakangan ini membabitkan pegawai polis khususnya di Melaka minggu lalu dengan jelas membuktikan 2 perkara berkaitan dengan pendedahan beliau.

Sanjeevan-Ramakrishnan-sprm
PETALING JAYA: Datuk Seri Sanjeevan Ramakrishnan menyambut baik tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan hampir 10 pegawai polis berhubung kesalahan bersubahat dengan sindiket jenayah sambil menegaskan, ia membuktikan pendedahan beliau selama ini adalah betul.

Pengerusi MyWatch itu berkata, siri penangkapan kebelakangan ini, khususnya di Melaka sepanjang minggu lalu, dengan jelas membuktikan 2 perkara yang berkaitan dengan pendedahan beliau.

“Saya telah bercakap benar selama ini apabila mendedahkan amalan rasuah individu tertentu dalam PDRM, yang memberi perlindungan kepada sindiket dan hakikat bahawa saya telah menjadi mangsa penganiayaan,” kata beliau menerusi kenyataan media.

Kata Sanjeevan, apabila memulakan tindakan pendedahan harapan beliau hanyalah agar PDRM menjalankan siasatan melibatkan pegawai-pegawai kanan polis.

“Saya berharap proses ini (siasatan) akan dijalankan.”

Sebaliknya, kata Sanjeevan, beliau telah dimalukan dan menjadi bahan ejekan apabila ditangkap atas pelbagai kesalahan termasuk kononnya memfitnah PDRM, memalsukan kelayakan akademik dan terlibat dalam tindakan pemerasan dan ugutan.

“Saya diletakkan di bawah tahanan polis, bukan sekali tetapi lebih tepat sekali sebanyak 10 kali, saya percaya untuk menutup mulut saya,” katanya yang pernah ditahan antara lain di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Malah katanya, dalam sesetengah keadaan orang ramai juga sangsi dengan tindakan-tindakan beliau selama ini.

Khamis lalu, SPRM merampas wang tunai bernilai kira-kira RM800,000 dari stor rumah seorang koperal berusia 52 tahun di Melaka.

Anggota polis yang bertugas di ibu pejabat Polis Melaka merupakan individu ke-10 ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan kegiatan mengutip wang daripada pengusaha pusat judi haram dan rumah urut di beberapa lokasi sekitar Melaka. Suspek disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(B) dan 17 (a) Akta SPRM 2009.

Sambil menjelaskan beliau tidak berniat untuk bangga dengan membuat pendedahan sedemikian ke atas PDRM, Sanjeevan berkata, “saya mempunyai penghormatan yang tinggi ke atas pasukan polis.”

“Tetapi ini (penglibatan dalam jenayah) adalah perkara yang saya menentang dengan kuat.”

Sanjeevan menambah, tindakan SPRM dengan sendiri membuktikan apa yang didedahkan selama ini adalah benar, yang memerlukan tindakan agensi penguat kuasa.

“Lebih banyak tangkapan anggota polis boleh dijangka dalam masa terdekat.

“Saya percaya akan ada orang-orang dalam PDRM, yang terus dikaitkan dengan sindiket, akan mengambil apa juga tindakan untuk menghalang sesiapa pun daripada mendedahkan dan mengganggu pendapatan haram mereka,” kata Sanjeevan.

Justeru, Sanjeevan berkata, beliau tabik kepada SPRM yang menurunya bertindak tanpa rasa takut atau pilih kasih.

“Ia memperbaharui semangat saya dan menguatkan saya untuk meneruskan perjuangan saya untuk menerangi mana-mana ketidakadilan di negara ini.

“Saya juga akan terus mempertahankan yang saya tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan, yang saya percaya telah direka-reka dan masih tergantung di atas kepala saya.

“Saya percaya bahawa saya mempunyai hak untuk perbicaraan yang adil berdasarkan bukti yang saya tidak bersalah dan oleh itu, saya meletakkan kepercayaan penuh saya terhadap mahkamah untuk memberi keadilan,” katanya.

Pada 25 April lalu, Sanjeevan telah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Kajang daripada  tuduhan peras ugut.

SPRM rampas tunai RM800,000 dari rumah anggota polis

13 penguat kuasa direman 7 hari lindungi rumah urut

Sanjeevan hadapi dakwaan baru

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.